SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kedudukan ekonomi dan kewangan Malaysia mengalami kejatuhan disebabkan perbuatan rasuah yang merebak secara berleluasa di negara ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Azman Mohd Yusof berkata, ekoran itu negara mengalami kerugian demi kerugian dalam beberapa tahun kebelakangan ini selain imej negara di mata dunia turut runtuh.
Katanya, situasi rasuah yang berleluasa itu turut membuatkan integriti masyarakat diragui dan merosotnya kepercayaan pelabur terhadap negara.
"Kita tahu bahawa barah rasuah telah merebak dengan begitu berleluasa sehingga setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama sama ada pegawai tinggi atau bawahan, di desa atau bandar boleh terlibat dan terkesan oleh amalan rasuah ini.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama 'Bicara Bina Negara: Sudah Hilangkah Maruah?' sempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) Rasuah Busters 2023 di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.
Program itu menampilkan dua panelis iaitu Pengarah Pusat Kepimpinan dan Pembangunan Profesional Universiti Malaya (UM Lead), Datuk Dr Anis Yusal Yusoff dan Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian manakala Ismail Adnan bertindak selaku moderator.
Program Bicara Bina Negara tersebut dianjurkan secara bersama Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara, Rasuah Busters dan Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Azman memberitahu, beberapa tamadun dan negara juga sebelum ini turut runtuh akibat amalan rasuah seperti Afrika, Empayar Rom dan Empayar Melaka.
"Pembangunan negara-negara Afrika terancam dan sangat lemah berikutan amalan rasuah ini. Statistik Bank Dunia menunjukkan sembilan daripada 10 negara termiskin adalah dari Afrika.
"Empayar Rom pula musnah akibat amalan korupsi ekonomi selain isu peperangan dan perebutan kuasa" ujarnya.
Justeru, Azman menegaskan, usaha padu perlu dilaksanakan oleh setiap ahli masyarakat termasuk pihak kerajaan dan agensinya, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membendung rasuah agar penghakisannya dapat dilakukan sehingga ke akar umbi.
"Jadi Program Bicara Bina Negara hari ini sempena sambutan HARA Rasuah Busters 2023 sangat bertepatan dengan dengan hasrat usaha sama padu ini.
"Kementerian Perpaduan Negara amat berbesar hati dapat bersama menjayakan program ini yang sedikit sebanyak dapat menyumbang kepada usaha memerangi amalan rasuah di Malaysia," katanya.