TEMERLOH - Enam pemain terpilih mewakili Pahang untuk berentap dalam Liga Jelajah Juara Sukan Elektronik (E-Sport) di Majlis Sukan Negara (MSN) pada 24 hingga 30 Disember ini.
Pemain berusia 16 tahun terdiri daripada, Nik Mohamad Faris Nik Mohd Sanusi, Ahmad Fasih Wafi Mohd Ridzuan, Ariif Irfan Rasdi, Muhammad Nur Shah Irfan Shahrul Nizam, Muhammad Irshraf Mikael Muhmaad Irsyad dan seorang berusia 15 tahun, Muhammad Ashraf Aqmal Muhamad Roshdi.
Kesemua mereka terpilih selepas 30 peserta termasuk jurulatih terlibat dalam bengkel dua hari berakhir pada Selasa sempena Jelajah Juara E-Sport Malaysia 2023 yang berlangsung di Mini Studio E-Sport Pahang dekat Lanchang di sini.
Mereka turut berpeluang menimba pengalaman selain meraih ilmu baharu dengan sentuhan pemain profesional daripada Team HaqEsports Club (THQ) serta kepakaran yang dibawa oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).
Wakil pemain, Muhammad Irshraf memberitahu teruja dengan bengkel itu selain melihat sendiri dan menimba ilmu daripada pemain profesional sukan itu.
"Selain itu, kami akan membuat persediaan rapi dan tidak sabar berentap dengan pemain seluruh negara di MSN nanti," kata remaja tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan E-Sport Negeri Pahang, Husyin Abd Murat memberitahu, jelajah itu memberi manfaat kepada pemain e-sport di sini selain dapat mencungkil pelapis baharu sukan itu.
Menurutnya, jelajah itu disifatkan sangat membantu pemain dengan kepakaran serta pengalaman daripada pihak terlibat.
"Persatuan juga akan melakukan pelbagai usaha untuk mencungkil bakat-bakat baharu antaranya bakal menganjurkan mini sirkit di setiap daerah untuk melahirkan lebih ramai pemain terdiri anak jati Pahang," tambah beliau.
Sementara itu, Pengurus THQ, Muhd Aiman Nazri, 23, mengakui jelajah itu memberikan pengalaman baharu buat pemain pasukan selain gembira dengan komitmen peserta terlibat dalam jelajah tersebut.
Dalam pada itu, turut terlibat dalam bengkel tersebut, Pegawai Eksekutif MSN, Mohd Syazwan Mohd Hanafi dan Pegawai Pemakanan Sukan ISN, Foo Kai Li.
Strategi Johnathan membidik di final
Dalam perkembangan berasingan, Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) merancang menghantar penembak kebangsaan, Johnathan Wong menyertai beberapa kejohanan 'kecil' di luar negara tahun depan sebagai langkah strategik membantunya membuat bidikan lebih kerap di final.
Bernama melaporkan, Setiausaha Eksekutif NSAM, Hayati Shamsuri berkata, ia termasuk tiga kejohanan kecil di Denmark yang dijadual bermula bulan depan, selain Piala Dunia di Munich, bermula 31 Mei hingga 7 Jun, sebelum turun bersaing pada Sukan Olimpik 2024 di Paris.
"Rancangan menghantar Johnathan menyertai beberapa kejohanan kecil (luar negara) merupakan langkah persatuan bagi membantunya untuk melayakkan diri dengan lebih mudah ke final (dalam mana-mana pertandingan).
"Secara tidak langsung ia dapat membantunya untuk kerap merasai pengalaman di final sekali gus dapat menangani (tekanan). Selain kejohanan, Johnathan juga dijangka menyertai kem latihan di luar," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) Sukan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil pada Rabu.
Dalam pada itu, Hayati berkata NSAM juga berharap dapat menghantar Johnathan lebih awal ke Paris bagi menjalani kem latihan di sana sebelum beraksi di Sukan Olimpik 2024.
"Mungkin selepas Piala Dunia di Munich, Johnathan akan ke Perancis terus, namun kesemuanya bergantung kepada kelulusan daripada pihak di Paris sama ada mereka benarkan berlatih atau tidak," katanya.
Atlet berusia 31 tahun itu mengesahkan slot ke Paris 2024 selepas menamatkan acara 10 meter Air Pistol Lelaki di tempat keempat pada Kejohanan Menembak Asia ke-15 di Changwon, Korea Selatan, Oktober lepas.
Pencapaian dilakarnya membolehkan beliau layak buat kali kedua di Sukan Olimpik, selepas membuat penampilan sulung di Rio 2016.
Selain Johnathan, tiga lagi atlet Malaysia telah melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu ialah atlet terjun Bertrand Rhodict Lises, Nur Shazrin Latif (pelayaran) dan Ariana Nur Dania Zairi (memanah).
Sukan Olimpik 2024 dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos.