Kabinet baharu pacu ekonomi negara - Fahmi

Iklan
Fahmi pada sidang media Kerajaan Perpaduan di Kementerian Komunikasi, pada Rabu. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kali ini adalah lebih baik dari segi jumlah, pengalaman dan keupayaannya untuk memacu ekonomi negara, kata Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dalam sidang media di sini pada Rabu berkata, beberapa penganalisis juga ada menyatakan Kabinet Kerajaan Perpaduan kali ini susulan pengumuman rombakan Kabinet semalam adalah jauh lebih baik berbanding Kabinet kerajaan terdahulu.

Iklan
Iklan

Mengulas kenyataan Ahli Parlimen pembangkang yang menyifatkan barisan Kabinet baharu itu mengecewakan, Fahmi berkata:"Bagi yang kecewa itu, nasihat saya ialah jangan pendam kecewa itu, tampil ke meja rundingan seperti ditegaskan Perdana Menteri. Kita putuskan beberapa perkara dan kita hidup berharmoni, rukun aman damai.”

Semalam, Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan Kabinet yang diumumkan oleh Anwar sebagai 'Kabinet balas budi'.

Iklan

Mengenai hasrat dan amanat yang dititipkan Perdana Menteri terhadap Kabinet baharu ini, Fahmi berkata, Anwar mahu barisan Jemaah Menteri bekerja keras melaksanakan usaha menyelesaikan masalah rakyat.

"Dengan adanya contoh teknokrat, ada beberapa Ahli Parlimen yang pernah berkhidmat dalam Jemaah Menteri maka ada tanda positif penerimaan dalam kalangan rakyat dan akar umbi malah dalam kalangan mungkin sektor korporat.

Iklan

"Yang jelas Perdana Menteri memaklumkan hasrat rakyat untuk melihat perubahan itu ialah hasrat menggunung bermaksud ramai kalangan menteri yang baharu, mereka perlu bergerak dengan cepat, tiada tempoh bulan madu,” katanya menambah, menteri dan timbalan menteri baharu dilihat sedia bekerja.

Semalam, Anwar melakukan rombakan Kabinet yang pertama sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan, dalam usaha memperkukuhkan pentadbiran sesuai dengan tuntutan dan keperluan semasa.

Rombakan Kabinet itu menyaksikan pertambahan bilangan Jemaah Menteri, pengguguran seorang menteri serta penampilan tokoh korporat sebagai muka baharu, selain kemunculan semula lima bekas menteri.

Mengenai pengasingan Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital, beliau berkata, langkah pengasingan itu penting dalam usaha kerajaan meningkatkan pembangunan ekonomi negara khususnya dalam sektor digital.

"Penting saya tegaskan kenapa Kementerian Komunikasi dan Komenterian Digital dipecahkan sebab dalam pengalaman saya dan saya dah sampaikan juga kepada Perdana Menteri, aspek digital ini adalah aspek yang sebelum ini mencakupi dan merangkumi sejumlah kementerian yang lain.

"Sebagai contoh dari segi pelaporan, agensinya adalah MyDigital Corp di bawah Kementerian Ekonomi bagi sektor digital manakala bagi pemula di bawah MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi),” katanya.

Sehubungan itu, katanya, keputusan untuk memisahkan dan menjadikan digital itu satu kementerian adalah satu keputusan yang tepat dan tepat pada masanya

"Dengan ada semua agensi ini nanti dan diselaraskan oleh seorang menteri yang fasih dengan undang-undang dan faham dengan pentingnya aspek kawal selia terutama dalam teknologi, bukan hanya kecerdasan buatan (AI) tetapi kecerdasan umum buatan (AGI),” katanya.

Fahmi menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Komunikasi manakala Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia sebagai Menteri Digital. - Bernama