Kecurian REE di Hulu Perak, sudah ada tangkapan dibuat

Iklan
Saarani (kiri) beramah mesra bersama pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan percubaan SPM 2023 pada Majlis Hari AACS dan Pelajar Inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani Daerah Kinta di bawah Program TRAS, hari ini. - Foto Bernama

IPOH - Beberapa individu telah ditahan berhubung kegiatan meneroka secara haram unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) lantanid di Hulu Perak.

Mengesahkan perkara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tangkapan dilakukan pihak polis susulan laporan dibuat kerajaan negeri sebelum ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan terperinci kes itu termasuk individu yang terlibat diserahkan sepenuhnya kepada polis mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan.

"Tidak adil untuk saya campur tangan, kita serah kepada polis kerana kes ini melibatkan siasatan mereka.

Iklan

"Cuma saya nasihatkan, apa juga nak buat, kena terlebih dahulu dapatkan lesen melombong.

"Apabila cuba mengeluarkan hasil bumi tanpa terlebih dahulu mendapatkan lesen, itu adalah salah kerana hasil bumi adalah hasil kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Anugerah Pelajar Anak Angkat Cikgu Saarani (AACS) dan Pelajar Inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani Daerah Kinta di bawah Program Transisi Ke Arah Perak Sejahtera (TRAS) di sini pada Rabu.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan, wujud usaha pihak tertentu untuk mengekstrak secara haram perlombongan REE lantanid yang diusahakan kerajaan negeri di Mukim Kenering, Gerik.

Sepanjang tempoh Februari hingga November tahun ini, kerajaan Perak sudah menerima royalti sebanyak RM21.1 juta hasil daripada perlombongan berkenaan.

Sementara itu, seramai 152 pelajar telah dibantu melalui inisiatif Anak Angkat Cikgu Saarani setakat ini.

Daripada jumlah itu, 34 daripadanya masih bersekolah menengah, 13 lagi sedang mengikuti program peringkat diploma/ijazah, empat orang menjadi pelajar tajaan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR), manakala 101 lagi adalah mereka yang sudah tamat pengajian, bekerja dan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pada majlis itu, YBUDR telah memperuntukkan sebanyak 35 komputer riba dan 115 headphone untuk diagihkan kepada 150 calon SPM 2023 sebagai penggalak semangat dan motivasi untuk mereka memberikan yang terbaik dalam peperiksaan akan datang.