Kes dijangka terus meningkat musim cuti sekolah - Exco Kedah

Iklan
Gambar hiasan - Foto fail Bernama

ALOR SETAR - Kedah mencatatkan peningkatan kes Covid-19 sebanyak 595 kes iaitu 78.1 peratus pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-49 iaitu antara 3 hingga 9 Disember lalu berbanding minggu sebelumnya.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, jumlah itu menjadikan keseluruhan kes Covid-19 di negeri Kedah setakat ME ke-49 adalah sebanyak 5,601.

Iklan
Iklan

Katanya, data yang diperoleh daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan terdapat peningkatan kes Covid-19 sejak penghujung Oktober lalu.

"Majoriti kes yang diterima adalah melalui saringan bergejala dengan kebanyakan kes bergejala ringan dan menjalankan pengasingan di rumah masing-masing.

Iklan

"Bagaimanapun situasi terkini di Kedah adalah terkawal dan tidak membebankan sistem kesihatan," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Menurutnya, dijangkakan berlaku peningkatan kes yang berterusan susulan pergerakan masyarakat dan aktiviti berkumpulan menjelang cuti sekolah dan perayaan Krismas.

Iklan

"Sehubungan itu, warga Kedah diingatkan agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah-langkah pencegahan Covid-19," ujarnya.

Katanya, bagi mereka yang bergejala diminta untuk membuat sendiri ujian pengesanan Covid-19 dan laporkan keputusan ujian serta lakukan penilaian kesihatan kendiri dalam aplikasi MySejahtera.

"Dapatkan rawatan awal di klinik Kesihatan berhampiran bagi individu positif Covid-19 yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi atau gejala bertambah teruk,” katanya.