SHAH ALAM - Pengunjung menyambut baik penganjuran Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) Rasuah Busters 2023 yang diadakan di Kumpulan Karangkraf pada Rabu dengan menyifatkannya sebagai satu usaha membantu menyebarkan mesej antirasuah dalam kalangan masyarakat.
Menurut Adam Shah Abdul Rahim, 61, penganjuran HARA Rasuah Busters membolehkan orang ramai sedar tentang peri pentingnya rasuah ditolak dan dibanteras.
Katanya, program Bicara Bina Negara yang turut diadakan hari ini membantu memberi pencerahan kepadanya tentang usaha memerangi rasuah.
"Apa yang boleh saya katakan, ini merupakan satu usaha berterusan daripada penganjur untuk membanteras rasuah.
"Program yang diadakan ini juga sangat membantu audien menyedarkan tentang gejala ini selain orang di luar sana pun akan maklum bahawa ramai yang bersemangat membenci rasuah dan mahu memeranginya," katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu Siti Nuraisyah Mohd Fikri, 30, pula berkata, penganjuran Program Bicara Bina Negara bertajuk 'Sudah Hilangkah Maruah? sempena HARA membolehkan dia mengetahui tentang apa yang berlaku di negara ini berkait tentang rasuah.
"Ia melibatkan pelbagai sektor dan bagaimana mahu membanteras rasuah sehingga ke akar umbi, ia memerlukan kerjasama semua pihak," katanya.
Dalam pada itu, Md Nasir Tampol, 59, berharap supaya rasuah menjadi perbualan orang ramai dan penganjuran HARA membuatkan isu rasuah tidak dikesampingkan.
"HARA 2023 ini telah menjentik hati rakyat bahawa yang rasuah itu jijik, usaha membenci rasuah bermula dari diri kita.
"Jadi kalau boleh kejijikan rasuah ini perlu kerap dikongsi dan perlu diterap bahawa rasuah ini amat-amat kotor," katanya lagi.