Mayat kanak-kanak lemas ditemukan terapung

Iklan
Anggota bomba membantu membawa mayat mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut

ROMPIN - Kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang hilang selepas terjatuh ke sungai di kawasan perumahan banjir Simpang Sepayang, Kuala Rompin di sini sejak Isnin lalu ditemui mati lemas pada Rabu.

Mangsa, Rizq Ramadhina Jamaluddin dipercayai terjatuh ketika memancing bersama tiga adik beradiknya di sebuah jeti berhampiran rumah mereka.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Mohd Azahari Muhktar berkata, mayat mangsa ditemukan terapung oleh pasukan penyelamat jam 5.30 petang kira-kira empat kilometer dari tempat dia dilaporkan terjatuh.

Kes kehilangan mangsa dilaporkan Sinar Harian pada pagi Rabu.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk proses bedah siasat.

Iklan

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari ketiga hari ini (Rabu) ditamatkan susulan penemuan itu," katanya.

Mohd Azahari berkata, operasi SAR pada Rabu disertai 116 anggota pelbagai agensi termasuk, polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Pasukan Polis Marin.

Iklan

"Turut membantu anggota dari Jabatan Perikanan, sukarelawan Jabatan Amal Rompin, Kelab Bencana Rompin, NGO dan penduduk kampung.

"Sebanyak 19 bot digunakan dalam operasi itu selain bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) bomba," katanya.