Laksanakan segera reformasi institusi, perangi rasuah

Iklan
Baslishah Sham sebagai panelis dalam program Wacana Siri 423 bertajuk Rasuah Robek Budaya Bangsa yang berlangsung di Studio Sinar Harian, pada malam Rabu. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor

SHAH ALAM - Reformasi institusi perlu dilakukan segera sebagai usaha untuk memerangi jenayah rasuah dalam negara daripada semakin membarah.

Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin berkata, ia termasuk menggubal akta pendanaan politik dan mempercepatkan pemisahan kuasa antara pendakwa raya dengan peguam negara.

Iklan
Iklan

"Sistem negara perlu ditukar supaya budaya rasuah yang sudah berakar umbi ini dapat dibendung dalam masa akan datang.

"Budaya rasuah memang perlu diperangi menerusi didikan awal kepada anak-anak sejak kecil hingga dewasa termasuk pendidikan agama, tetapi pendidikan sahaja tidak cukup.

Iklan

"Begitu juga dengan tahap ekonomi negara, di mana kadar kemiskinan kini berada pada tahap RM1,800 sebulan. Jadi mereka (penerima) akan merasa terdesak dan mengambil sogokan bagi menampung perbelanjaan bulanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Wacana Siri 423 bertajuk Rasuah Robek Budaya Bangsa yang dihoskan oleh Ismail Adnan sempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) Rasuah Busters 2023 di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu.

Iklan

Antara panel yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin.

Tambah Badlishah Sham, isu ‘kabel’ atau menggunakan orang tengah dalam sesuatu urusan juga perlu segera dibendung kerana ia dianggap sebagai satu kesalahan kecil yang tidak memudaratkan mana-mana pihak.

Menurut beliau, tindakan itu tanpa disedari telah mengambil hak orang lain yang lebih layak untuk menerimanya.

"Sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit, itu perumpamaan yang sesuai digunakan untuk situasi ini. Kita sebagai umat Islam tidak boleh pandang enteng terhadap dosa atau tindakan yang salah walaupun ia kecil.

"Justeru, nilai murni yang baik seperti kejujuran, amanah dan berintegriti merupakan satu nilai yang bermakna kepada masyarakat serta memberi manfaat kepada semua pihak sekiranya diamalkan,” jelas beliau.

Dari kiri; Ismail Adnan selaku hos manakala Nurhayati dan Baslishah Sham sebagai panelis dalam program Wacana Siri 423 bertajuk Rasuah Robek Budaya Bangsa yang berlangsung di Studio Sinar Harian, pada malam Rabu. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor

Ujar Badlishah Sham lagi, kerajaan perlu memudahkan sebarang proses atau prosedur sesuatu urusan bagi mengekang permasalahan ‘kabel’ tersebut.

"Memerangi rasuah ini memerlukan pelbagai sudut (kaedah) supaya dapat perangi rasuah dengan lebih holistik. Tapi kita tak boleh berhenti, ia tidak akan menyelesaikan masalah. Kita kena usaha lebih.

"Mencegah sejak awal sangat penting, kalau tiada pencegahan dan sekiranya ia dibiarkan terjadi memang susah nak berhenti,” katanya.