TINDAKAN Arab Saudi membatalkan aksi persahabatan menentang Malaysia awal bulan depan sewajarnya dihormati kerana pasukan Piala Dunia Qatar 2022 itu sudah pasti mempunyai alasan tersendiri.
Namun timbul juga persoalan kemungkinan pasukan bimbingan Roberto Mancini itu cuak untuk menentang Harimau Malaya yang menunjukkan prestasi memberangsangkan sejak kebelakangan ini.
Penganalisis sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa bagaimanapun berkata, skuad kendalian Kim Pan-gon juga perlu sedar tahap Malaysia berbanding pencapaian yang diraih Arab Saudi di pentas dunia.
"Kita masih jauh, mereka dalam kelas tersendiri. Arab Saudi berada dalam kedudukan ranking lebih baik (ke-56 dunia), malah mereka pernah menewaskan Argentina pada Piala Dunia.
"Ibarat pepatah, jauh panggang dari api (ranking Malaysia 130). Panjang lagi perjalanan kita untuk sampai ke tahap hampir atau sama seperti Arab Saudi,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman pada Rabu mengesahkan aksi skuad negara menentang pasukan ranking ke-56 dunia itu yang dijadual pada 4 Januari dibatalkan atas permintaan Mancini.
Mohd Sadek menjelaskan, Arab Saudi juga tidak mahu corak permainan mereka menjadi rahsia terbuka buat Malaysia meskipun skuad negara diundi dalam kumpulan berbeza pada Piala Asia 2023 di Doha, Qatar bulan depan.
"Arab Saudi tidak mahu kita tahu corak permainan mereka. Pan-gon boleh saja tengok video untuk intai corak permainan mereka.
"Tapi tidak sama beraksi secara berdepan. Meskipun ia aksi pemanas badan, tapi Arab Saudi tidak mahu pemain kita dapat keyakinan tinggi hasil daripada aksi itu,” katanya.
Justeru katanya, para pemain perlu sedar kemampuan mereka dan persiapkan diri untuk meningkatkan kualiti ke tahap paling optimum untuk bersaing dengan pasukan besar pada masa depan.
"Kejohanan di Qatar Januari depan menjadi pentas terbaik buat Malaysia 'mencuri' slot untuk berada dalam kelompok 16 terbaik Asia.
"Selepas itu boleh berkira-kira untuk lawan Arab Saudi atau mana-mana pasukan gergasi Asia yang lain,” katanya.
Beliau berkata, FAM juga perlu bekerja lebih keras untuk memperkasakan lagi perlawanan persahabatan selain menentang pasukan kebangsaan, tumpuan juga boleh terarah kepada kelab-kelab dari liga di England dan Eropah.
"Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin) boleh gunakan pengaruhnya untuk atur aksi pemanas badan dengan kelab Cardiff City di mana pemiliknya adalah orang Malaysia, Tan Sri Vincent Tan.
"Mungkin agak janggal, namun tiada salah untuk kita mencuba. Begitu juga kelab Queens Park Rangers (QPR) yang mempunyai hubungan strategi dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade),” katanya.
Malaysia yang berjaya layak ke Piala Asia secara merit selepas 42 tahun akan membuka kempen Kumpulan E bertemu Jordan pada 15 Januari diikuti Bahrain (20 Januari) dan pasukan pilihan yang juga juara dua kali, Korea Selatan pada 25 Januari.