JEMPOL - Seorang pemandu lori bertindak mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas lorinya dikenakan notis penahanan oleh agensi berkenaan pada Rabu, kerana cukai jalan tamat tempoh.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kejadian kira-kira jam 9.50 pagi semasa anggota berusia 40 tahun itu menjalankan tugas rondaan di Bahau bagi pemeriksaan kenderaan perdagangan.
"Anggota itu telah terserempak dengan lori suspek yang bercermin gelap. Semakan pada Smart Mobile Enforcement Device (SMED) mendapati kenderaan tersebut mempunyai cukai jalan dan Puspakom tamat tempoh, serta tiada perlindungan insurans.
"Pengadu iaitu anggota JPJ berkenaan telah arahkan lori tersebut berhenti sebelum mengeluarkan notis penahanan kenderaan itu kerana cukai jalan tamat tempoh," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Chang Hook berkata, pemakluman notis tersebut telah dimaklumkan pada seorang lelaki (suspek) berusia 48 tahun yang mengaku sebagai anak pemilik lori.
"Pengadu juga telah memaklumkan yang lori itu akan ditahan di kandang sita JPJ Jempol, Bandar Seri Jempol. Pengadu telah arahkan dua anggota JPJ untuk membawa lori suspek ke lokasi berkenaan.
"Suspek marah lalu meninggikan suara menggunakan bahasa yang kasar dengan berkata, U jangan ingat, U besar, U panggil U punya tuan turun la," katanya.
Chang Hook berkata, berikutan itu suspek telah ditangkap bagi melengkapkan siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan/14 Akta Kesalahan Kecil.
"Punca dia berkata demikian kerana tidak puas hati dengan tindakan JPJ yang telah mengeluarkan notis penahanan lorinya sebanyak dua kali pada tahun yang sama," katanya.
Ujar Chang Hook, semakan mendapati suspek tiada rekod lampau, bagaimanapun dia tidak ditahan reman kerana mempunyai penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi selain perlu mengambil insulin.
"Kes selesai dan hasil siasatan mendapati suspek mengaku terlibat dalam kes yang disiasat. Oleh yang demikian suspek akan diberikan jaminan polis. Kertas siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya," katanya.