[VIDEO] Covid-19: KKM keluar arahan laksana dos penggalak ketiga bagi golongan rentan

Iklan

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengeluarkan arahan pelaksanaan dos penggalak ketiga vaksin Covid-19 berikutan peningkatan kes baharu yang dilaporkan sejak akhir-akhir ini di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pelaksanaan itu akan melibatkan golongan rentan iaitu pesakit kronik dan warga emas yang lebih berisiko untuk dijangkiti.

Iklan
Iklan

"Mungkin sedikit waktu lagi KKM akan keluarkan arahan," katanya selepas Perhimpunan Bulanan Bersama Warga KKM di sini pada Khamis.

Menurut beliau, bekalan vaksin sedia ada mencukupi bagi menampung keperluan rakyat dalam usaha kerajaan untuk mengekang penularan Covid-19.

Iklan

"Andai kita laksanakan, masih ada bekalan yang belum mencapai tarikh luput dan ia mampu melindungi daripada pelbagai strain Covid-19," katanya.

Terdahulu KKM pada Rabu memaklumkan bilangan jangkitan Covid-19 pada Minggu Epidemiologi ke-49 (ME 49/2023) meningkat dua kali ganda berbanding sebelumnya.

Iklan

Ia menyaksikan 12,757 kes direkodkan berbanding 2,796 pada ME 48.

Dr Dzulkefly

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, Kabinet turut dimaklumkan mengenai situasi terkini jangkitan Covid-19 dalam mesyuarat pada Rabu.

"Kementerian sedar mengenai peningkatan sehingga lebih 12,000 kes mutakhir ini dan wajar untuk kita beri perhatian," katanya.

Tambah beliau, pelbagai faktor yang menyumbang kepada peningkatan angka tersebut termasuklah cuaca dan pergerakan serta tidak memakai pelitup muka tambahan pula di hujung tahun ini musim cuti sekolah.

Ditanya mengenai sama ada kementerian merancang untuk melaksanakan saringan lebih ketat di pintu masuk negara, beliau berkata, ia akan dipertimbangkan.

"KKM mempunyai pelan tindakan. Sekiranya kriteria dipenuhi, kita akan mengaktifkan segera langkah intervasi dan mitigasi yang lebih sesuai.

"Kita tidak mahu terlalu alami tetapi juga tidak mengambil mudah," katanya.