Dulu pandang enteng, kini Amir tauke Batu Nisan Chepor

Iklan
Amir melakukan kerja-kerja pembuatan batu nisan di premis perniagaannya di Ipoh baru-baru ini. - Foto Bernama

IPOH - Pernah memandang remeh perusahaan batu nisan milik bapanya suatu ketika dahulu, anak muda Amir Idrossaidi kini selesa dan bersungguh-sungguh dalam memastikannya terus kukuh.

Amir, 30, sempat mengimbas kenangan ‘curi-curi’ bekerja di kedai komputer apabila disuruh bapanya membantu perusahaan berkenaan yang dianggapnya tidak menjanjikan masa depan ketika itu.

Iklan
Iklan

"Saya akui mulanya memandang enteng perniagaan batu nisan keluarga ini, apatah lagi selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya meminati bidang pengkomputeran. Selepas terlibat dengan perniagaan ini saya akhirnya akur, malah ‘jatuh cinta’,” katanya kepada Bernama di premis perniagaannya di sini baru-baru ini.

Bapa kepada seorang cahaya mata lelaki itu kini bergelar pemilik perniagaan Batu Nisan Chepor di Kanthan, di sini yang merupakan perniagaan keluarga secara turun-temurun dimulakan datuknya sejak 1964 di Batu Kurau, Taiping sebelum diteruskan bapanya Idrossaidi Zakaria, 60.

Amir melakukan proses mengilap kepok kubur sewaktu kerja-kerja pembuatan batu nisan. - Foto Bernama

Iklan

Perusahaan itu mula diperluas apabila ibunya Rohana Mahmod Zahidin, 60, mencetus idea menambah cawangan di Chepor di sini pada 2010.

Amir berkata, pada mulanya dia sekadar membantu operasi perniagaan bapanya, namun lama-kelamaan semakin berminat selepas mengambil kira beberapa faktor terutama memikirkan bapanya yang semakin berusia dan mahu meneruskan legasi bapanya dalam perniagaan itu.

Iklan

"Selepas SPM memang tiada minat langsung, pada 2011 barulah timbul minat hingga masuk kelas dan kursus perniagaan untuk tahu cara memajukan perniagaan, terutama melibatkan batu nisan," katanya.

Batu nisan yang dijual diperbuat daripada batu sungai, terazo, marmar dan granit yang ditempah dari China. - Foto Bernama

"Sebenarnya perniagaan batu nisan boleh memberi pulangan, cuma yang kita nampak ramai orang tua yang terlibat, anak muda kurang sedikit," katanya menambah Batu Nisan Chepor pernah mendapat tempahan daripada beberapa kenamaan termasuk mufti dan artis tempatan.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, adik-adiknya sebelum ini bekerja dengan pihak lain dan kini bersama-sama terlibat dalam perusahaan itu, dengan adik perempuannya Aina, 29, sebagai pereka bentuk nama untuk batu nisan, manakala adik lelaki Faiz, 25, membantu perniagaan bapanya di premis di Chepor.

Amir berpandangan, kekurangan pendedahan terhadap perusahaan batu nisan menyebabkan anak muda tidak berminat menceburi perniagaan itu sedangkan ia boleh menjana pendapatan, sama seperti perniagaan lain.

Amir mengecat batu nisan dengan cat pengilat. - Foto Bernama

"Orang muda mungkin melihat perniagaan ini macam satu pekerjaan yang kotor sebab perlu bertukang dan sebagainya, tetapi sebenarnya berpotensi untuk pergi jauh. Setiap bulan ada sahaja tempahan diterima,” katanya menambah tempahan biasanya meningkat pada Ramadan dan Aidilfitri.

Justeru, Amir berharap pihak masjid dan golongan warga emas memberi pendedahan kepada orang muda bahawa pekerjaan seumpama itu tidak seperti mereka sangkakan serta mampu menjana pendapatan.

Amir berkata, dia memanfaatkan penggunaan laman sosial seperti Facebook dan enjin carian Google untuk mempromosikan perniagaannya selain menerima 80 peratus tempahan menerusi aplikasi WhatsApp, 10 peratus secara terus di kedai manakala bakinya menerusi ejen seluruh negara.

"Kalau ikut ayah, dia memang guna kaedah konvensional iaitu tampal iklan di tepi jalan supaya orang nampak, tetapi pada era sekarang, laman sosial lebih banyak membantu memajukan perniagaan," katanya.

Sebahagian batu nisan yang ditempah pelanggan. - Foto Bernama

Amir berkata, batu nisan yang dijual diperbuat daripada batu sungai, terazo, marmar dan granit yang ditempah dari China dengan seunit pada harga RM300 hingga RM500, manakala set kubur melibatkan kepok yang siap dipasang pula antara RM800 hingga RM5,000.

"Bahan yang digunakan hanyalah simen putih dengan batu serpihan dan batuan halus. Kita juga akan mengikut garis panduan yang ditetapkan Jabatan Agama Islam negeri serta yang ditetapkan hukum syarak," katanya memberitahu reka bentuk Batu Nisan Chepor beridentitikan seakan bunga padi. - Bernama