AC Milan akhirnya menamatkan badi berdepan kelab Inggeris di Eropah apabila menewaskan Newcastle United 2-1 dalam perlawanan terakhir Kumpulan F Liga Juara-Juara di Stadium St James' Park pada awal pagi Khamis.
Kelab Serie A yang berstatus juara tujuh kali itu bangkit daripada ketinggalan untuk menang hasil jaringan Samuel Chukwueze seminit lebih selepas dia masuk sebagai pemain gantian.
Jaringan minit ke-84 itu mengesahkan kemenangan pertama Milan menentang kelab Inggeris di tempat lawan dalam pertandingan Eropah sejak 2005 yang juga kedua dalam 22 percubaan.
Bagaimanapun kemenangan itu gagal melonjak Milan ke kedudukan kedua selepas Paris Saint-Germain (PSG) terikat 1-1 menentang Borussia Dortmund dalam satu lagi perlawanan kumpulan sama.
Milan yang mengakhiri cabaran di tempat ketiga sekali gus gagal mengesahkan slot 16 terbaik akan bersaing untuk slot kejuaraan tahap dua kelab Eropah, Liga Europa.
"Kami kecewa kerana menamatkan saingan Liga Juara-Juara. Kami tahu kumpulan itu sukar tetapi saya percaya kami berhak mendapat lebih - kami sepatutnya mengambil peluang kami dalam perlawanan lain.
"Kami kekal dalam permainan dan bermain dengan hebat pada separuh masa kedua. Sekarang kami akan melakukan semua yang kami mampu untuk memenangi Liga Europa," kata pengendali Milan Stefano Pioli.
Bekas penyerang Chelsea, Christian Pulisic menyamakan kedudukan untuk Milan pada minit ke-84 selepas Joelinton mendahului Newcastle yang dominan pada separuh masa pertama dengan rembatan deras minit ke-33.
"Ia satu pencapaian hebat. Kami mempunyai peluang untuk memenangi pertandingan hebat.
"Matlamatnya (sebelum malam ini) adalah untuk kekal di Eropah dan kami berjaya mencapainya. Sudah tentu kami mahu meneruskan Liga Juara-Juara tetapi kami menantikan Liga Europa,” kata Pulisic, yang merupakan pemain Amerika Syarikat pertama yang menjaringkan gol untuk tiga pasukan berbeza dalam Liga Juara-Juara.