IPOH - Simpang Pulai dipilih sebagai lokasi pembangunan projek pembinaan makmal persampelan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang pertama di negara ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pemilihan dibuat berdasarkan potensi kawasan itu sebagai kawasan perindustrian selain pembangunannya dilakukan di atas tanah milik Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc).
Menurutnya, buat masa ini, kerajaan negeri sudah memulakan segala persediaan untuk melantik syarikat yang akan mengendalikan operasi makmal berkenaan.
"Kita masih menunggu kelulusan daripada kementerian (Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam), harap dapat disegerakanlah kerana kita dah maklumkan banyak kali.
"Apabila dapat sahaja kebenaran, kita akan mula set up dan membina makmal itu di kawasan dicadangkan di Simpang Pulai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Perak Economic Outlook 2024 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah Institut Asia-Eropah (AEI) Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr R Rajah yang menyampaikan ucaptama.
Saarani berkata, pembangunan makmal itu adalah hasil usahasama tiga agensi di bawah kerajaan negeri iaitu MB Inc, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).
Katanya, apabila siap kelak, makmal itu tidak terhad kepada menganalisis hasil Perak, tetapi mineral dari negeri-negeri lain yang berpotensi untuk diperkembangkan.
"Dengan ketiadaan makmal sebegini, segala persampelan akan dihantar ke luar negara iaitu ke China.
"Jadi kita harapkan kerajaan Pusat membenarkan makmal ini dibuka yang menjadikan bukan hanya untuk Perak, malah turut digunakan oleh negeri lain," katanya.