Agus selesai beri keterangan lebih dua jam di IPD Kajang

Iklan
Kenderaan yang membawa Mohammad Agus keluar dari IPD Kajang setelah selesai memberi keterangan pada Khamis.

KAJANG - [DIKEMAS KINI] Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff selesai memberi keterangan berhubung dakwaan gangguan seksual, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini pada Khamis.

Beliau dilihat keluar menaiki Toyota Estima berwarna putih pada jam 1.17 petang selepas lebih dua jam masuk ke IPD tersebut.

Iklan
Iklan

Agus bagaimanapun enggan memberi sebarang kenyataan kepada media yang menunggu sejak jam 11 pagi.

Beliau yang duduk di tempat penumpang hadapan hanya melambai tangan sambil melemparkan senyuman, tanpa sepatah kata.

Iklan

Penguamnya, Zaflee Pakwanteh yang memandu kenderaan tersebut kemudiannya memberitahu tiada kenyataan akan dibuat.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan Agus dijangka memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Kuala Lumpur, pada jam 10 pagi.

Iklan

Bagaimanapun, Zaflee ketika dihubungi pada Khamis mengesahkan kehadiran Agus di IPD Kajang pada jam 11 pagi.

Ia bagi membantu siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap kakitangan J-Kom, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33, yang dipercayai berlaku di Bintulu, Sarawak, Oktober lalu.

1 Disember lalu media melaporkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, laporan diterima daripada Abdul Wahab yang mendakwa kejadian berlaku pada 21 Oktober lalu di sebuah hotel.

Susulan itu polis telah membuka siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D atas kesalahan melanggar kesopanan.