PKBM pertaruh sentuhan jurulatih juara dunia

Iklan
Terryn (kanan) bakal memulakan tugasnya selaku jurulatih skuad berbasikal trek pelapis negara bulan depan.

PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mendapat 'lampu hijau' daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mendapatkan khidmat bekas ketua jurulatih Perancis, Herman Terryn.

Pemangku Timbalan Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, keputusan membawa masuk Terryn bagi memantapkan lagi skuad berbasikal trek negara terutama di peringkat pelapis.

Iklan
Iklan

Menurutnya lagi, pelantikan Terryn itu dianggap sebagai nilai tambah kepada skuad berbasikal trek negara berdasarkan pengalamannya yang pernah melahirkan juara pecut dunia 2022, Mathilde Gros.

Amarjit

"Hari ini (Khamis) kami telah adakan mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) antara PKBM dan MSN.

Iklan

"Selepas temuduga jurulatih dibuat minggu lepas, secara prinsipnya MSN bersetuju melantik Herman Terryn.

"Beliau boleh dikatakan sebagai individu bertanggungjawab menaikkan (nama) Mathilde Gros yang dianggap sebagai bintang sukan berbasikal Perancis.

Iklan

"Jika semua berjalan lancar, beliau akan mulakan tugas Januari depan khasnya untuk (skuad) pelapis,” kata Amarjit kepada pemberita selepas mesyuarat JKK di MSN, Bukit Jalil pada Khamis.

Pada masa sama, Amarjit memberitahu, kehadiran Terryn secara tidak langsung akan membawa lembaran baharu kepada skuad berbasikal trek negara.

"Ini satu perkara yang baik kepada kami terutamanya kepada atlet-atlet pelapis.

"Pengalamannya sebagai ketua jurulatih Perancis akan memajukan atlet-atlet kita ke tahap lebih tinggi,” jelasnya.

Ditanya bagaimana PKBM menilai keupayaan Terryn sehinga dilantik untuk menjadi ahli 'keluarga baharu' PKBM, Amarjit berkata;"Beliau yang memohon kepada kita, mungkin tertarik dengan potensi atlet-atlet Malaysia.

"Kehebatan Jijoe (Datuk Azizulhasni Awang) mungkin turut menjadi faktor.

"Jadi saya gembira kerana kita dapatkan jurulatih berkaliber sepertinya,” ujarnya.