KULAI - Seorang pemandu cedera selepas lori pasir dipandunya merempuh Plaza Tol Senai Utara di Kilometer 19.2 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini pada Khamis.
Kemalangan tersebut mengakibatkan mangsa, Amirrul Faiz Hassan yang berusia 29 tahun tersepit di tempat duduk pemandu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan II Abd Malik Abd Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.10 pagi.
Susulan itu katanya, dua jentera fire rescue tender (FRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan 15 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
"Kemalangan membabitkan sebuah lori pasir yang merempuh pondok plaza tol. Pemandunya akibat tersepit dan pihak bomba mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas 'power unit' dan 'combination tools'," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pegawai perubatan dan operasi tamat jam 11.40 pagi.