'Bangkitlah pejuang, bersama kita membanteras rasuah'

Iklan
Ahmad Sabirin mendeklamasikan puisi bertajuk 'Pejuang Banteras Rasuah' di studio F, Kumpulan Karangkraf bersempena program Apresiasi Puisi Antirasuah pada Hari Antirasuah Antarabangsa Rasuah Busters 2023. Foto SINAR HARIAN/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

SHAH ALAM - Kumpulan Media Karangkraf pada Khamis bergema dengan semangat perjuangan menentang perbuatan jijik rasuah.

Tampil dengan seruan berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad (SIRIM), Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad mengajak semua masyarakat untuk bangkit menjadi pejuang melawan rasuah dalam misi menjadikan #Malaysia bebas rasuah.

Iklan
Iklan

"Apa yang saya sampaikan menerusi deklamasi puisi tadi adalah rasuah kini berada pada segenap lapisan, ia bukan hanya terdedah kepada pemimpin sahaja, jadi bagaimana kita hendak pastikan rasuah tidak menjadi satu budaya dalam hidup.

"Sekarang ini kita hendak pastikan semua berani untuk menyatakan tidak kepada rasuah, usaha perlu dilakukan bagi pastikan tiada amalan rasuah di semua peringkat, insya-ALLAH, bangkitlah pejuang," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Terdahulu Ahmad Sabirin mendeklamasikan puisi bertajuk 'Pejuang Banteras Rasuah' di studio F, Kumpulan Karangkraf bersempena program Apresiasi Puisi Antirasuah pada Hari Antirasuah Antarabangsa Rasuah Busters 2023.

Puisi Pejuang Banteras Rasuah karya Borhan Mat Aris membangkitkan semangat orang ramai untuk bersama-sama menghapuskan rasuah.

Iklan

Berikut merupakan bait-bait puisi tersebut.

Rebut merebut tak tentu arah,

Tuduh menuduh tingkah bersilat,

licik mematah tutur kata,

mencari pengaruh memburu kuasa.

Benarkah?

Berhentam berpulas untuk memimpin rakyat,

Menagih kuasa, merayu kuasa, merampas kuasa,

Ke kanan diterjah, ke kiri ditolak,

Ke Belakang menghenyak, ke depan menyanggah,

Kerana kuasa peluang menjarah.

Namun, tak semua pemimpin rasuah,

Tak kira di atas mahupun di bawah,

Asal ada kuasalah punca segala masalah,

Kita banteras mereka yang menjarah.

Bila berkuasa tak tentu arah,

Mengambil hak melebar rasuah,

Tak kenal halal tak kenal haram,

Peduli apa akibat dan musibah,

Asal diri kaya raya untuk dimegah.

Ayuh! kita bertindak banteras rasuah,

Kita bersatu perangi rasuah,

Jangan takut jangan risau jangan gundah,

kitalah pejuang membanteras rasuah.