MALAYSIA terpaksa akur tewas 3-5 kepada Belgium menerusi penalti shoot-out dalam aksi klasifikasi kesembilan hingga ke-12 Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Rabu.
Begitupun, pengendali The Young Tigers, Muhamad Amin Rahim tetap memuji komitmen anak-anak buahnya sepanjang 60 minit perlawanan berlangsung.
"Saya harus memberi pujian kepada setiap pemain atas kesungguhan yang ditunjukkan mereka.
"Sekalipun ketinggalan dua gol, mereka tetap menampilkan komitmen tinggi dalam memburu jaringan.
"Malangnya kita kalah (menerusi penentuan penalti shoot-out).
"Ini satu lagi pengajaran berguna kepada pemain-pemain muda negara,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan.
Perlawanan yang ditangguhkan kira-kira 30 minit akibat hujan lebat itu diheret sehingga penentuan shoot-out apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas tamat masa sebenar.
Namun, Young Tigers harus menyalahkan diri sendiri apabila gagal menghasilkan sebarang jaringan sekalipun memperoleh lapan pukulan sudut penalti.
"Kami buat kebangkitan, betul kami tidak dapat sempurnakan pukulan sudut penalti, tetapi gol penyamaan menerusi penalti stroke (Harris) terhasil menerusi gerakan daripada pukulan sudut penalti.
"Empat pukulan sudut penalti lain turut menepati sasaran. Kalau kami dapat menyempurnakan empat pukulan sudut penalti awal, kami sudah pasti berada di hadapan.
"Apapun, semangat pemain tidak luntur dan bangkit untuk terus berjuang dan mereka buktikan segala-galanya di atas padang,” jelas Muhammad Amin.
Belgium yang tampil selaku naib juara edisi 2016 terlebih dahulu memperoleh jaringan pembukaan menerusi gol padang Max Luyten pada minit ke-28.
Belgium terus selesa di depan apabila menambah jaringan kedua hasil pukulan sudut penalti yang disudahkan Hugo Labouchere pada minit ke-36.
Berselang seminit kemudian, Young Tigers akhirnya berjaya memperoleh jaringan yang dicari-cari apabila Adam Ashraf meledak gol menerusi gol padang pada minit ke-37.
Jaringan itu ternyata membangkitkan semangat Malaysia menambah jaringan dan hasilnya, Mohammad Harris Iskandar Osman berjaya menyempurnakan penalti stroke pada minit ke-51.