'Makan rasuah ibarat makan najis'

Iklan
Siso Kopratasa

SHAH ALAM - Pemuisi pada Khamis menzahirkan soladariti mengajak masyarakat bersama menolak perbuatan jijik rasuah menerusi penyampaian deklamasi puisi dan lagu berunsur bencikan rasuah.

Penyanyi puisi terkenal, Siso Kopratasa atau nama sebenarnya Syed Indera Syed Omar, 67, berkata, rasuah perlu dibanteras habis-habisan demi menjamin masa hadapan Malaysia yang lebih baik.

Iklan
Iklan

"Katakan tidak pada rasuah, sesiapa yang makan rasuah, ibarat makan najis, kerana rasuah boleh hancurkan bangsa, bangsa kita tidak akan dihormati jika amalkan perbuatan jijik itu.

"Kita harus angkat maruah kita," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Terdahulu, Siso menyampaikan lagu puisi yang berjudul 'Kita Orang Melayu' bersempena Program Apresiasi Puisi Antirasuah pada program Antirasuah Antarabangsa Rasuah Busters 2023.

Ia berlangsung di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf yang turut disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian.

Iklan

Sebanyak sembilan puisi dideklamasikan termasuk dalam bentuk lagu sepanjang program itu berlangsung, antaranya oleh Canselor Kolej Universiti Inovasi, Profesor Emeritus Datuk Dr Hashim Yaacob (Rasuah melahap kita); Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad (Pejuang Banteras Rasuah) dan Bard Puisi (Al-Risywah).

Hadir sama, Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters (Yayasan Sinar Untuk Malaysia), Nurhayati Nordin.

Sementara menyentuh mengenai penyampaian lagu 'Kita Orang Melayu' Siso berkata, lagu karya M Nasir itu disampaikannya bagi membangkitkan kesedaran orang Melayu bahawasanya mereka tidak boleh sentiasa berada pada zon selesa.

"Lagu ini perlu diketengahkan untuk kita lihat semula.

"Bila saya tengok orang Melayu sudah leka, mereka berada di zon selesa jadi saya mahu menyentuh kembali hati-hati mereka supaya jangan begitu.

"Kita lihat kalau dahulu 40 tahun sebelum ini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi hak kepada Israel untuk tinggal di tanah Palestin, sekarang Palestin sakit disebabkan keputusan 40 tahun dahulu," katanya.

Justeru, beliau mengajak orang Melayu untuk kembali bersatu padu di bawah 'satu payung'.

"Untuk itu kita perlu bersama-sama berimpian yang murni kerana kita satu rumpun," katanya lagi.