PUTRAJAYA - Perdana Menteri. Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu usaha mempromosi barangan buatan Malaysia ke peringkat antarabangsa dipertingkatkan bagi membantu pertumbuhan ekonomi negara.
Justeru Anwar berharap tanggungjawab itu digalas semua pihak bagi merealisasikan hasrat berkenaan.
Malah beliau menjelaskan, peranan itu telah dilaksanakan olehnya dengan mempromosikan produk tempatan ketika berkunjung ke luar negara.
"Batik Malaysia umpamanya, esok petang saya akan ke Tokyo, (Jepun sempena Ulang Tahun Ke-50 Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun), semua 10 kepala negara ASEAN diundang kerajaan dan Perdana Menteri Jepun.
"Ada satu malam dia (penganjur) kata boleh pakai kot, tali leher atau pakaian rasmi. Jadi saya bagi nota, (sebut) nak pakai batik Malaysia sebabnya saya rasa bertanggungjawab untuk promosi barang buatan Malaysia dan akan rasa bangga untuk beritahu ini adalah batik Malaysia, mutu dan rekaannya baik," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Barangan Malaysia (KBM) 2023 di sini pada Khamis.
Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali dan timbalannya, Fuziah Salleh.
Dalam pada itu Anwar berkata, beliau turut mendukung produk tempatan menerusi kunjungan ke gerai dan warung makanan sebelum menunaikan solat Jumaat setiap minggu.
"Kalau ada kesedaran kita untuk mendukung, bantu, saya tidak terasa kurang atau turun darjat saya kerana makan di gerai atau warung setiap minggu.
"Malah kopi dan makanan dihidang lebih enak daripada restoran lima bintang dan lebih murah, yang pentingnya tempatan," ujarnya.
Justeru Ahli Parlimen Tambun itu berharap semua menteri, timbalan menteri serta ketua setiausaha (KSU) menunjukkan kesungguhan dalam mempromosi dan mendukung barangan Malaysia.
Sementara itu Anwar turut mengingatkan pengusaha batik tempatan untuk menerapkan nilai serta keindahan seni Melayu dan Islam dalam corak batik yang dihasilkan.
"Saya anjurkan supaya pengusaha batik tempatan faham tentang nilai, keindahan seni melayu dan islam di rantau ini.
"Corak-corak itu boleh dibuat dan dikembangkan berdasarkan keaslian dan diindahkan mengikut citarasa semasa (Melayu dan Islam tempatan)," katanya.