JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor diminta menangguhkan kerja-kerja menaik taraf melibatkan beberapa kaunter di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, penangguhan kerja-kerja tersebut sehingga berakhirnya cuti persekolahan akhir tahun ini.
Unit Komunikasi dan Korporat Pejabat Imigresen BSI sebelum ini memaklumkan, pihaknya akan menutup beberapa kaunter zon bas dan laluan automatik (sistem e-gate) bermula Jumaat selama sebulan untuk memberi laluan kerja-kerja berkenaan.
Jelas unit tersebut, penutupan itu melibatkan tiga fasa di laluan keluar dan masuk kaunter bas terbabit dengan proses itu mengambil masa sebulan dan dijadualkan selesai pada 15 Januari ini.
Langkah penutupan tersebut sebelum ini menimbulkan kebimbangan orang ramai kerana BIS dijangka sesak kerana bakak bertembung dengan cuti sekolah di Singapura yang bermula dari 16 November hingga 2 Januari 2024.
Sementara itu, beberapa pengguna media sosial memberi komen positif berhubung kenyataan Onn Hafiz yang disifatkan tepat memandangkan waktu cuti persekolahan adalah waktu puncak di CIQ BSI.
Pengguna akaun Facebook bernama K. Puwaneswaran berkata,"ini namanya bijak, harap dapat jadi PM (Perdana Menteri)," tulisnya.
Seorang lagi pengguna media sosial, Jeff Ray pula memberitahu,"Ribuan terima kasih, Datuk yang paling peka tentang isu di CIQ, tiada yang lain ambil tahu dan ambil tindakan seperti Datuk," komennya.