Tang Jie-Ee Wei cipta kejutan, kembali hidupkan peluang ke separuh akhir

Iklan
Tang Jie (kiri) dan Ee Wei tampil buat kali pertama di pentas Jelajah Dunia Akhir BWF.

BEREGU utama campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menghidupkan semula peluang mereka mara ke peringkat separuh akhir saingan jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China.

Dalam aksi kedua Kumpulan A di Gimnasium Olimpik Hangzhou sebentar tadi, Tang Jie-Ee Wei mengejutkan beregu kedua dunia dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino dengan kemenangan 12-21, 21-16-21-16.

Iklan
Iklan

Kemenangan itu bagaikan menebus kekecewaan mereka selepas tewas mudah 10-21, 13-21 kepada beregu keempat dunia dari China, Feng Yanzhe-Huang Dongping dalam aksi pembukaan Kumpulan A pada Rabu.

Malah, Tang Jie-Ee Wei kini boleh berbangga apabila berjaya merekodkan kemenangan pertama ke atas Watanabe-Higashino selepas mereka tumbang dalam dua pertemuan sebelum ini.

Iklan

Untuk rekod, Tang Jie-Ee Wei tewas straight set kepada lawan mereka itu pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark dan Terbuka Singapura tahun ini.

Tang Jie-Ee yang kini menduduki ranking kedua dunia bakal berdepan gandingan keenam dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai pada Jumaat bagi menentukan nasib mereka ke separuh akhir.

Iklan

Sama seperti Tang Jie-Ee Wei, Dechapol-Sapsiree turut bermula dengan langkah kiri pada kejohanan akhir musim itu apabila tumbang di tangan Watanabe-Higashino dengan kekalahan 16-21, 14-21.