Imbasan 2019: Program Sinar Harian

Iklan

Jualan gudang Karangkraf buku serendah RM1

SEPERTI tahun-tahun sebelumnya, Karnival Jualan Gudang Karangkraf diadakan sebanyak tiga kali setahun.

Iklan
Iklan

Bagi Jualan Gudang Awal Tahun 2019, ia diadakan pada 15 hingga 24 Februari manakala Jualan Gudang Pertengahan Tahun diadakan pada 25 Julai hingga 4 Ogos. Jualan Gudang Akhir Tahun pula berlangsung pada 25 Oktober hingga 3 November.

Kesemua jualan berkenaan berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam dan mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Iklan

Bagi peminat buku, pastinya telah berpeluang mendapatkan buku mereka dan novel yang diminati pada harga jauh lebih murah dengan pelbagai tawaran menarik.

Selain tawaran diskaun sehingga 70 peratus, pelbagai aktiviti menarik sepanjang jualan gudang turut diadakan.

Iklan

Wacana Sinar Siri 86 hingga 147 sepanjang 2019

BERMULA siri pertama Wacana Sinar bagi tahun 2019, iaitu siri ke-86 bertajuk ‘Malaysia Baharu: Apa Perlu Anda Tahu?’ pada 17 Januari, Sinar Harian terus menganjurkan program pengongsian ilmu ini dengan jayanya.

Wacana Sinar Siri ke-147 bertajuk ‘Peranan Institusi Kewangan Islam Dalam Ekonomi Malaysia' yang diadakan pada 20 Disember merupakan penutup tirai Wacana Sinar pada tahun 2019.

3,000 hadiri World #Quran Hour

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mencemar duli berangkat ke program World #QuranHour di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Kuala Lumpur.

Baginda bersama lebih 3,000 orang menyertai kempen interaksi dengan al-Quran, sebagai tanda sokongan membentuk solidariti ummah di seluruh dunia membaca al-Quran selama sejam.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Rektor UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.

World #QuranHour tahun ini mengangkat tema Solusi Cabaran Sejagat dengan mengajak masyarakat memahami empat cabaran dunia akhir zaman dan solusi daripada surah al-Kahf.

Tokoh-tokoh terkenal diwawancara dalam Bicara Minda

SEPANJANG tahun 2019, Program Bicara Minda yang dikendalikan oleh Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar telah mengundang ramai tokoh terkenal tanah air untuk berbicara isu-isu yang menjadi perhatian segenap lapisan masyarakat.

Antara tetamu-tetamu yang dijemput termasuklah, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador; Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan; bekas Menteri Perdagangan Industri dan Antarabangsa, Tan Sri Rafidah Aziz; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan ramai lagi.

Program yang diadakan di Dewan Karangkraf ini boleh diikuti secara langsung melalui media sosial Facebook SinarHarian.

Pemimpin bertikam lidah dalam Debat Sinar

‘SELAIN Wacana dan Bicara Minda, Sinar Harian tidak ketinggalan menganjurkan satu lagi program ilmiah, iaitu Debat Sinar yang mengundang dua tetamu melontarkan idea-idea untuk diperdebatkan.

Pada Oktober 2019, Debat Sinar bertajuk ‘Belanjawan 2020: Siapa Dapat Lebih Manfaat? telah diadakan mempertemukan

Ketua Penerangan Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ulya Aqamah dengan Penolong Setiausaha Penerangan Pemuda Pas, Nazrul Nazir.

Pada 20 November pula satu lagi siri diadakan dengan tajuk ‘Malaysia Baharu: Pemimpin Tak Amal Politik Matang?’. Dua pemimpin politik diundang iaitu Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang berdepan dengan Ahli Parlimen Pasir Mas yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari.

Sinar Harian, Sin Chew Daily anjur program Sweat & Shoot

PENGANJURAN Program Sweat & Shoot: Sukan Tanpa Diskiriminasi merupakan platform terbaik untuk membuang persepsi bahawa sebahagian acara sukan di negara ini hanya milik kaum tertentu.

Justeru, acara sukan bola sepak yang sering dianggap milik orang Melayu dan bola keranjang bagi orang Cina dipilih pihak penganjur bersama Sinar Harian dan Sin Chew Daily dalam program yang berlangsung pada 15 Disember lalu di pekarangan Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam, Selangor.