Pelarian Rohingya buang nasi dibekalkan penduduk Aceh

Iklan
Tangkap layar video pelarian Rohingya di Kota Sabang yang dirakam Andi Sanjaya. - Agensi

BANDA ACEH - Tindakan pelarian Rohingya membuang nasi bungkus yang dibekalkan penduduk tempatan di Aceh mencetuskan rasa kurang senang pengguna media sosial di Indonesia.

Perbuatan itu terbongkar selepas beberapa penduduk meninjau kawasan pantai yang menjadi lokasi pendaratan etnik minoriti itu di daerah Kota Sabang.

Iklan
Iklan

Selain itu, kawasan pantai yang sebelum ini bersih dipenuhi sampah sarap dan plastik makanan yang dibuang merata-rata oleh pelarian Rohingya.

Perbuatan pelarian Rohingya itu dirakam Andi Sanjaya dan dimuat naik ke akaun TikToknya @andi.sanjaya86.

Iklan

Menurut Andi, pelarian Rohingya turut mendirikan khemah sementara dan keadaan itu mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat setempat.

"Ini suasana di tempat pelarian Rohingya di Sabang. Ada bungkusan nasi yang dibuang di kawasan semak.

Iklan

"Ini bukan orang-orang yang lapar tetapi berpura-pura lapar semata-mata mahu dikasihani," ujar Andi dalam nada marah.

Klip berdurasi 48 saat itu mendapat reaksi negatif pengguna sosial yang rata-ratanya menganggap pelarian Rohingya sebagai tidak bersyukur dan besar kepala.

Difahamkan, Aceh kini sedang bergelut untuk mencari lokasi bagi menampung kira-kira 1,600 pelarian Rohingya selepas kehadiran kumpulan pendatang asing itu terus dibantah penduduk tempatan, ketika Indonesia sedang berusaha untuk membanteras aktiviti penyeludup.

Di Indonesia, Aceh menjadi lokasi utama ketibaan Rohingya kerana terletak secara strategik di hujung paling atas Sumatera, sekali gus menjadikan perjalanan melalui Laut Andaman oleh pelarian itu dari Bangladesh agak mudah walaupun Indonesia bukan negara yang menerima pelarian.

Sikap mengabaikan kebersihan dan sukar diatur menjadi antara punca sebahagian besar penduduk Aceh menolak kehadiran pelarian Rohingya yang menjadi subjek penghapusan etnik di Myanmar.

Penduduk mendakwa kehadiran pelarian Rohingya mengganggu kehidupan seharian mereka, selain muak dengan sikap etnik berkenaan yang gagal berasimilasi serta tidak menghormati adab dan budaya tempatan.

Kementerian Luar Indonesia sebelum ini menegaskan ia tidak mempunyai kewajipan atau kapasiti untuk mencari penyelesaian berhubung penempatan semula golongan pelarian termasuk etnik Rohingya.

Indonesia juga bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967. - Agensi