TAHNIAH kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjaya menyusun atur barisan menteri Kabinet beliau pada Selasa lalu kepada pasukan yang dipercayai lebih efisien dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
Walaupun tindakan Anwar menerima banyak komen negatif daripada pihak pembangkang dan sebilangan masyarakat, namun sebagai pemimpin utama negara, beliau pasti tahu apa yang terbaik untuk rakyat.
Jumlah anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan kini meningkat daripada 55 kepada 60 orang, dengan 31 menteri dan 29 timbalan menteri di portfolio masing-masing, dengan penampilan semula lima bekas menteri.
Apa yang menarik, walau dikritik hebat sebagai ‘mungkir janji’ kerana tidak mengecilkan saiz Kabinetnya, tetapi sebenarnya anggota Kabinet Anwar masih kecil berbanding pentadbiran dua perdana menteri terdahulu.
Ia berbeza jika dibandingkan dengan zaman pentadbiran Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seramai 69 orang.
Ketika negara dilanda Covid-19 pada 2020, Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai anggota Kabinet teramai iaitu 70 orang.
Sebelum itu, Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad ada 54 menteri dan timbalan menteri, manakala Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai 68 anggota Kabinet.
Apa pun keadaannya, berapa pun jumlah jemaah menteri dan timbalan, kecil atau besar, bukanlah ukuran kejayaan pentadbiran sesebuah negara.
Sebelum ini pun terbukti semua perdana menteri sebelum Anwar berjaya menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik dengan sokongan jemaah menteri dilantik.
Apa yang penting ialah bagaimana menteri dan timbalan menteri dilantik menjalankan amanah di atas pundak mereka, iaitu untuk menyelesaikan masalah rakyat yang kini terbeban dengan kenaikan kos sara hidup, selain memastikan pertumbuhan ekonomi terus dijana dan keamanan negara terjamin.
Bagi memastikan objektif ini tercapai, Anwar bertegas tidak ada honeymoon buat anggota Kabinet dan mereka perlu menjalankan tugas sebaik dilantik.
Buat rakyat Malaysia, terimalah rombakan ini dengan positif dan beri peluang kepada perdana menteri ke-10 kita merealisasikan gerak kerja yang telah beliau rancang.
Jika masih gagal, biarlah pilihan raya umum (PRU) penggal akan datang yang menentukan!