Polis bongkar inap desa 'simpan' PATI di Jalan Kebun

Iklan
Polis membongkar sebuah rumah inap desa dan menahan PATI di Jalan Kebun, Shah Alam pada Khamis.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sebuah inap desa di Jalan Kebun, di sini yang dijadikan sebagai rumah penampungan atau transit pendatang asing tanpa izin (PATI) digempur polis, pada Khamis.

Serbuan Op Pintas pada jam 5.30 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman hasil risikan selama dua hari.

Iklan
Iklan

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus berkata, serbuan ini membawa tangkapan 59 warga asing termasuk 12 wanita berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.

Menurutnya, daripada jumlah tangkapan migran itu, lima ialah warga Bangladesh dan seorang etnik Rohingya, manakala selebihnya warga Indonesia.

Iklan

"Semakan mendapati empat lelaki yang ditahan yang juga warga Indonesia berperanan sebagai ejen, penjaga rumah serta pembantu.

"Polis telah merampas sebuah kereta jenis Honda City, wang tunai RM1,000 serta tiga telefon bimbit," katanya pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati migran terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai masuk dan keluar ke Malaysia melalui laluan yang tidak diwartakan (jalan laut).

Katanya, soal siasat awal mendapati migran membuat bayaran tambang dari harga 4 juta hingga 13 juta rupiah (RM1,500 hingga RM2,000) mengikut kawasan dan ejen.

"Wang dibayar kepada ejen dan akan diuruskan berlepas ke Tanjung Balai Indonesia dan Dumai melalui laluan tidak diwartakan (perairan Malaysia-Indonesia)," ujarnya.

Tambah Fadil, dipercayai ejen terbabit aktif menguruskan migran keluar dan masuk Malaysia sejak tiga bulan yang lalu.

"Suspek utama yang berperanan sebagai ejen dan penjaga rumah juga mendedahkan melakukan aktiviti penyeludupan migran ke Malaysia melalui jalan laut tidak diwartakan dan menerima arahan daripada beberapa orang lelaki Indonesia dengan upah RM500 setiap trip," katanya.

Tegasnya, kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk disiasat bawah Seksyen 26A Akta Atipsom 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 19659/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama.