Suami gagal adil berpoligami bawa persepsi negatif

Iklan
BERTERUS teranglah dengan isteri jika suami ingin berpoligami demi kemaslahatan bersama.

PENERIMAAN isteri terhadap perkahwinan poligami adalah berbeza mengikut individu. Tidak setuju bukanlah bermaksud mereka menolak sunnah Rasulullah SAW, tetapi mungkin kerana faktor lain.

Barangkali suami tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik sepanjang tempoh perkahwinan termasuk culas memberikan nafkah atau tidak mampu memimpin keluarga dengan baik.

Iklan
Iklan

Demikian komentar Penasihat Persatuan Peguam Syarie Terengganu, Fazru Anuar Yusof.

"Persoalan berkaitan poligami yang dianggap sebagai penderaan mental kepada isteri apabila suami membuat permintaan untuk bernikah lagi sebenarnya bergantung kepada penerimaan wanita tersebut terhadap poligami dan gaya hidup pasangan sepanjang perkahwinan," katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Iklan

FAZRU ANUAR

Menurut perspektifnya, andai suami berbincang secara baik dengan isteri untuk berpoligami atau terdapat keperluan untuk bernikah lagi, mungkin isteri dapat menerima dengan baik.

Iklan

Malah katanya, poligami yang bakal terjadi akan membina keluarga yang lebih harmoni.

"Namun, sekiranya suami memulakan dengan cara yang salah iaitu mempunyai hubungan sulit sebelum berterus terang dengan isteri, maka perkara tersebut akan memberi impak besar kepada kehidupan berpoligami yang bakal dibina.

Elak kahwin rahsia

Begitupun, beliau mengingatkan agar perkahwinan poligami tersebut biarlah dalam pengetahuan isteri.

Ini kerana, ujar beliau, berkahwin secara rahsia boleh mengakibatkan penderaan emosi kepada isteri sebab merasakan dirinya dikhianati oleh pasangan tanpa mendapat penerangan yang jelas.

"Kegagalan suami memimpin dengan adil dan bertanggungjawab bakal mengakibatkan penderaan secara mental terhadap isteri.

"Bahkan, kezaliman terhadap isteri boleh berlaku akibat kegagalan suami," tegasnya.

Betapa pentingnya seorang isteri untuk mengambil tahu tentang hak yang boleh dituntut di hadapan hakim syarie berdasarkan peruntukan undang-undang.

Andai suami gagal berbuat demikian, isteri boleh membuat aduan di pejabat agama Islam daerah.

SYARAT terpenting dalam poligami adalah berlaku adil terhadap pasangan dalam pembahagian giliran dan nafkah.

"Sekiranya kesalahan disabitkan, suami boleh dihukum denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

"Di samping itu, isteri juga boleh menuntut perceraian secara fasakh sekiranya suami tidak memberikan layanan secara adil mengikut hukum syarak.

"Islam mengharuskan fasakh apabila isteri itu tidak mendapat nafkah daripada suaminya kerana si isteri ialah manusia yang berhajat kepada keperluan nafkah dari segi makanan, tempat tinggal, pakaian dan segala keperluan hidup sehari-hari bagi meneruskan kehidupan. Bahkan, nafkah adalah tanggungjawab kepada suami," terangnya lagi.

Hak isteri

Mengulas perkara yang boleh dituntut seorang isteri sebelum suaminya berpoligami, jelas Fazru Anuar, isteri boleh memohon kepada mahkamah supaya suatu perintah ditetapkan bagi hak penggiliran bermalam, selain jumlah nafkah yang perlu diberikan kepadanya dan anak mereka selepas suami berkahwin lagi.

"Selain itu, isteri juga boleh menuntut harta sepencarian terhadap harta-harta mereka sepanjang tempoh perkahwinan," katanya.

Kata peguam syarie itu lagi, syarat terpenting dalam poligami adalah berlaku adil terhadap pasangan dalam pembahagian giliran dan nafkah.

Paling utama, katanya, mahkamah akan menilai kemampuan suami dari segi kewangan berdasarkan pendapatan dan tanggungannya serta keperluan dirinya.

Apabila seorang suami membuat permohonan kebenaran berpoligami, jelas beliau, mahkamah akan mendengar dan membicarakan perkara tersebut dengan kehadiran suami isteri.

BIARLAH perkahwinan poligami itu dalam pengetahuan isteri kerana ia boleh mengakibatkan penderaan emosi kepada pasangan sebab merasakan dirinya telah dikhianati oleh suami tanpa penerangan yang jelas.

Andai isteri tidak bersetuju dengan permohonan tersebut dan berpendapat suami tidak berkemampuan untuk berkahwin lagi, mereka boleh ceritakan kepada mahkamah, ungkapnya.

"Sebagai contoh, suami selalu culas memberikan nafkah kepada isteri dan anak menyebabkan kebanyakan perbelanjaan ditanggung oleh isteri.

"Namun begitu, kuasa untuk memberi kebenaran kepada suami bukan terletak kepada isteri secara mutlak, tetapi perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada hakim syarie.

"Bagaimanapun, segala persetujuan atau alasan yang dikemukakan oleh isteri wajar diambil kira oleh hakim syarie dalam memberikan kebenaran demi menjaga kemaslahatan keluarga dan masyarakat," ujarnya.

Sebelum menoktahkan bicara, Fazru Anuar berpesan agar lelaki yang hendak berpoligami berfikir sebaiknya sebelum membuat keputusan.