BEBERAPA hari lalu, tular cerita berbondong-bondong pendatang asing tanpa izin (PATI) memenuhi pejabat-pejabat Jabatan Imigresen seluruh negara.
Merak Jalanan yang mudah tersentuh hati pun turut bersedih bila tengok rakaman video dan gambar beribu-ribu PATI beratur panjang sehingga ke bahu jalan.
Lebih sedih bila dikhabarkan ada yang sudah tiga hari berkampung dan berkhemah di pejabat imigresen.
Mereka enggan pulang ke rumah kerana bimbang jika keluar daripada barisan, mereka terpaksa beratur semula dan mungkin juga akhirnya terlepas merebut peluang program Back For Good yang ditawarkan kerajaan Malaysia.
Rupa-rupanya masing-masing mengambil peluang hari-hari terakhir selepas program Back For Good dibuka sejak empat bulan lalu. Program itu akan berakhir pada hari ini.
Benda baik tak hairanlah jadi rebutan! Apa tidaknya PATI yang bekerja setahun, dua tahun, waima 10 tahun sekalipun diberi peluang pulang ke kampung halaman negara asal tanpa sebarang hukuman penjara atau denda beribu-ribu ringgit.
Mereka sekadar dikenakan kompaun sekitar RM700 dan dilepaskan balik secara aman.
Jangan terkejut rupanya jumlah yang berdaftar sudah mencecah 138,901 orang setakat pertengahan Disember. Namun, hakikatnya semua orang tahu, angka itu tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan anggaran sebenar PATI di Malaysia.
Sebuah badan bukan kerajaan, Sekretariat Khidmat Imigran mendedahkan dianggarkan terdapat lebih empat juta PATI di Malaysia.
Ini bermakna peratusan PATI yang meninggalkan Malaysia secara baik hanya sekitar 3.4 peratus, manakala lebih 96 peratus lagi sedang bermaharajalela bekerja tanpa rasa takut dan bersalah.
Maka sudah tiba masanya badan penguat kuasa terutamanya Jabatan Imigresen bertindak tegas ke atas PATI yang liat ini. Peraturan tanpa penguat kuasaan hanya sekadar ibarat mencurah air di daun keladi.