RAWANG - Dua warga asing disyaki dieksploitasi sebagai buruh paksa di sebuah kilang kitar semula barangan terpakai di kawasan Perindustrian Kundang, di sini diselamatkan polis, pada Khamis.
Kedua-dua mangsa diselamatkan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Majlis Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) Kementerian Dalam Negeri serta Jabatan Tenaga Kerja Selangor.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, operasi Op Pintas Bersepadu di kilang yang beroperasi sejak setahun tanpa lesen itu dijalankan kira-kira jam 4.10 petang.
Menurutnya, mangsa merupakan wanita warga Myanmar dan lelaki Indonesia masing-masing berusia 22 dan 28 tahun.
"Lelaki Indonesia itu yang bekerja selama lebih kurang setahun pula telah kehilangan satu jari tengah di tangan kanan akibat kemalangan di tempat kerja dan berlaku pengabaian oleh majikan kerana gagal dapatkan rawatan yang sepatutnya," katanya pada Jumaat.
Tambah Soffian, atas syak yang munasabah mangsa adalah orang yang diperdagangkan di bawah Seksyen 12 Akta Atipsom berdasarkan kepada indikator seperti waktu kerja yang panjang, tidak dibayar gaji melebihi tiga bulan serta pengabaian majikan.
Susulan itu, dua warga China yang berperanan sebagai penyelia kilang dan pembantu penyelia ditahan untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, operasi berkenaan turut menahan 15 pendatang asing tanpa izin (PATI), termasuk lima wanita yang terdiri daripada tiga warga Myanmar, China (4), Bangladesh (1) dan Indonesia (7).
"Kita telah merampas lima kad kerja, satu telefon bimbit serta satu alat kawalan jauh pintu pagar," ujarnya.
Tambahnya, kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk tindakan lanjut.