[VIDEO] Penganggur didakwa bunuh ibu bapa kandung

Iklan

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret, di sini pada Jumaat atas dua pertuduhan membunuh ibu bapanya, di rumahnya, Sabtu lalu.

Afendi Muhammad Agus @ Muhamed Ali, 42, yang memakai baju T berwarna hitam, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Wong Chai Sia.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Afendi (kiri) yang memakai baju T berwarna hitam dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat, atas dua pertuduhan membunuh ibu bapanya di Kampung Sungai Penchala, Sabtu lalu.

Iklan

Mengikut kedua-dua pertuduhan, dia didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas pesara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Muhammad Agus @ Muhamed Ali Omar, 82 dan suri rumah, Darlisma Njatu Saleh, 72.

Kesalahan didakwa dilakukan di rumah mangsa, di Kampung Sungai Penchala Jalan Penchala Hilir 6, di sini pada jam 7.10 dan 7.20 malam, 9 Disember lalu.

Iklan

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vivien Yeap Jie Xi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 31 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Pada Sabtu lalu, polis mengesahkan telah menerima maklumat jam 7.43 malam daripada orang awam yang memaklumkan berlaku pergaduhan keluarga.

Malangnya, pasangan suami isteri warga emas berusia 72 dan 82 tahun itu ditemui mati di ruang tamu kediaman mereka, dipercayai dibunuh anak lelakinya di Kampung Sungai Penchala, di sini dengan beberapa kesan tikaman pada tubuh.

Polis kemudiannya mengesahkan suspek berjaya ditahan dan hasil siasatan mendapati dia mempunyai sembilan rekod jenayah.

Ujian saringan air kencing menunjukkan dia positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan morfin.