JURULATIH Terengganu FC (TFC), Mohd Nafuzi Mohd Zain bersedia membantu D Saarvindran untuk kembali ke prestasi cemerlang pemain itu sebelum ini sekali gus membuka peluang meraih tempat ke dalam skuad Harimau Malaya.
Menurutnya, beliau yakin pemain sayap menyerang yang mempunyai pengalaman bermain bersama Harimau Muda A, Pahang dan terakhir JDT II akan kembali menyinar.
"Dia (Saarvindran) pemain berkualiti, cuma mungkin sebelum ini sedikit bergelut untuk mengembalikan prestasi terbaiknya. Saya harap corak permainan TFC serasi dengan gaya permainannya,” katanya kepada Sinar Harian.
Saarvindran produk Sekolah Sukan Bukit Jalil mencipta nama bersama skuad Harimau Muda B (2010-2012) kemudiannya bersama Harimau Muda A (2012-2014) dan menjadi antara pemain membantu skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara menjuarai Pestabola Merdeka 2013.
Selepas skuad muda negara dibubarkan, dia menyertai Pahang namun perjalanan kariernya dibelenggu kecederaan dan persaingan sengit bagi memburu tempat dalam kesebelasan utama Tok Gajah.
Pemain berusia 27 tahun itu pada 2017 dipancing JDT II selama tiga musim memperlihatkan prestasinya dan keyakinannya kembali pulih.
Biarpun telah mengadakan beberapa perbincangan dengan beberapa pasukan Liga-M, Saarvindran akhirnya menyertai TFC bagi musim 2020 yang bermain di Liga Super dengan hasrat mahu kembali menyarung jersi Harimau Malaya.
Mengulas lanjut, Nafuzi berharap kehadiran pemain kelahiran Selangor itu bakal menambah sengat di bahagian serangan pasukannya bagi mengharungi saingan Liga Super 2020 yang bakal membuka tirai Februari depan.
"TFC pada musim ini membentuk pasukan baru berbanding tahun lalu dengan menampilkan ramai pemain muda daripada TFCII dan skuad Piala Presiden Terengganu. Mereka ini akan menggalas tugas di Liga Super.
"Saya harap ramuan pemain muda dengan pemain sedia ada dan ditambah dengan bekas pemain Harimau Muda itu mampu memberikan suntikan dan nafas baharu kepada pasukan kita.
"Saya juga tidak mahu meletakkan sasaran tinggi kepada pemain-pemain dan hanya mengharapkan mereka bakal menampilkan aksi terbaik serta konsisten sepanjang musim. Jika itu ditampilkan, saya yakin kejayaan itu akan hadir dengan sendiri,” katanya.
Ditanya mengenai persiapan pasukan, beliau menjelaskan beberapa siri perlawanan persahabatan bakal diadakan selepas bersama beberapa pasukan dalam dan luar negara.
"Terdekat kita adakan perlawanan persahabatan dengan Kelantan United di Terengganu. Kemudian kita akan ke Kuala Lumpur bagi menentang dua pasukan daripada Singapura dan Kemboja pada Januari depan.
"Ia bagi menguji keserasian dan mencari ramuan terbaik bagi menghadapi saingan Liga-M,” katanya.