Suri rumah nyaris dihempap pagar konkrit runtuh

Iklan
Nor Silawati (kanan) melihat dinding dapur rumah yang runtuh.

KUALA KRAI - Seorang suri rumah nyaris dihempap pagar konkrit rumah jiran yang runtuh akibat tanah di lereng bukit menggelongsor kerana hujan lebat di Kampung Baru Kuala Nal, di sini tengah hari Khamis.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika mangsa, Nor Silawati Bidi, 46, sedang mencuci pinggan di bahagian dapur rumahnya.

Iklan
Iklan

"Saya berada di singki dan berhenti sekejap daripada mencuci pinggan serta pergi ke bahagian hadapan di ruangan lain untuk meletakkan kain ke dalam mesin basuh.

Nor Silawati (kanan) melihat dinding dapur rumah yang runtuh.

"Tiba-tiba saya terkejut mendengar bunyi kuat menghentam dapur rumah sebelum mendapati dindingnya roboh. Saya menggigil ketakutan dan mujurlah belum sempat menyambung membasuh pinggan di singki itu,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Kuala Nal, di sini pada Jumaat.

Iklan

Dalam pada itu, suaminya, Zainal Alam Abdullah, 59, yang turut berada di rumah terkejut mendengar bunyi tersebut yang disusuli dengan jeritan isterinya.

Bilik yang turut terkesan akibat pagar konkrit runtuh.

Dia kemudian memeriksa di luar rumah dan mendapati benteng konkrit setinggi 2.4 meter dengan jarak hanya 0.5 meter di belakang rumahnya itu runtuh.

Iklan

"Hujan lebat menyebabkan tanah menggelongsor meruntuhkan benteng sepanjang 20 meter lalu menghempap dapur, sebuah bilik dan tandas rumah saya menyebabkan kerugian kira-kira RM30,000,” katanya.

Dinding rumah mangsa yang roboh.

Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Sungai Durian, Pegawai Kanan Bomba II Juniman Junoh berkata, seramai lapan anggota bergegas ke lokasi dan melakukan pemantauan.

Katanya, pemeriksaan mendapati tanah berkenaan pertama kali menggelongsor akibat hujan lebat dan tindakan waspada dilakukan kerana bimbang akan berulang.

Anggota bomba melakukan pemantauan di kawasan runtuhan.

"Setakat ini, pemaju sudah mengambil tindakan meletakkan kanvas bagi mengurangkan tanah menggelongsor.

"Bagaimanapun kami akan terus berjaga-jaga di kawasan ini bagi memastikan keselamatan penghuni rumah yang terlibat terutama pada hujan lebat,” ujarnya.

Zainal Alam (kiri) menunjukkan runtuhan pagar konkrit rumah jiran di belakang rumahnya.