PENGENDALI skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari mahu memastikan skuad kendaliannya itu meraih kemenangan mutlak pada aksi terakhir Liga Super musim ini apabila melayan kunjungan Penang FC di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.
Menurut Solari, kemenangan itu dilihat amat penting bagi melengkapkan sambutan yang akan dilakukan selepas perlawanan sempena meraikan kejayaan sedekad skuad Harimau Selatan itu mendominasi saingan Liga Super sejak musim 2014.
"Oleh itu, saya mahu menurunkan kesebelasan terbaik bagi memastikan kemenangan menjadi milik kami kali ini.
"Bagaimanapun, pada masa sama, kami tetap menghormati lawan dan kesemua pemain perlu berhati-hati agar tidak terjerat dengan corak taktikal yang ditampilkan Penang FC nanti,” katanya.
Untuk rekod, JDT kini gah selaku juara Liga Super dengan 73 mata hasil 24 kemenangan dan seri sekali daripada 25 perlawanan sementara Penang FC pula berada pada kedudukan ke-10 dengan 24 mata hasil enam kemenangan, seri empat kali dan tewas 15 kali daripada 25 perlawanan setakat ini.
Sementara itu Solari berkata, dia masih belum memuktamadkan kesebelasan utama pasukan bagi aksi terakhir berkenaan.
Katanya, perkara itu hanya akan dibuat pada saat akhir kerana menjangkakan aksi berintensiti tinggi bakal dipamerkan pelawat.
"Saya masih belum membuat keputusan dan berharap siapa sahaja yang diturunkan akan dapat mengekalkan intensiti dan semangat juang yang tinggi,” katanya.