Pemadam syor KKM wujudkan penguat kuasa khas kawal produk rokok

Iklan
Pemadam mencadangkan kepada KKM supaya mewujudkan satu pasukan penguat kuasa khas berkaitan dengan kawalan produk merokok di bawah Sektor Kawalan Tembakau. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Persatuan Mencegah Dadah (Pemadam) mencadangkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mewujudkan satu pasukan penguat kuasa khas berkaitan dengan kawalan produk merokok di bawah Sektor Kawalan Tembakau.

Pengerusi Biro Wanita, Keluarga dan PENAWAR Pemadam Kebangsaan, Datuk Jamelah A Bakar berkata, pasukan tersebut penting bagi memastikan pelaksanaan kawalan produk merokok dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keberkesanan undang-undang akan terbantut apabila wujud kelompong pelaksanaan penguatkuasaan dan pemantauan.

"Pihak kami sangat menghargai usaha gigih Sektor Kawalan Tembakau dan Sekretariat (Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau) yang bertungkus lumus merealisasikan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dibentang dan diluluskan.

Iklan

"Ini merupakan satu kejayaan Kerajaan Madani untuk memastikan Malaysia mempunyai undang-undang khusus yang melibatkan produk merokok dan tembakau," katanya menerusi satu surat kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada Jumaat.

Dalam perkembangan berkaitan, Jamelah turut mencadangkan agar satu bengkel khas diketuai Ketua Pengarah Kesihatan dilaksana untuk mewujudkan satu pasukan gerak kerja akar umbi dan membina upaya pemimpin NGO khususnya yang mempromosikan gaya hidup sihat tanpa rokok.

Iklan

Jelasnya, bengkel tersebut amat penting untuk memastikan kepimpinan NGO akar umbi membantu pelaksanaan undang-undang yang bakal dikuatkuasakan oleh KKM selain berperanan memberi input bagi mendrafkan peraturan-peraturan dalam melaksanakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

"Pemadam amat menyedari kepentingan akta ini kerana rokok dan vape adalah elemen pembuka jalan penggunaan dadah. Kami juga mendapat maklumat bahawa ada segelintir peniaga vape yang memasuk elemen cecair dadah dalam cecair vape.

"Kami juga menerima aduan daripada ibu bapa dan guru mengenai keterlibatan anak dan pelajar dalam aktiviti ini. Ini merupakan satu perkara yang membimbangkan Pemadam," katanya.

Menurutnya, Pemadam sentiasa menyokong segala usaha baik dilakukan KKM untuk memastikan peningkatan tahap kesihatan dan kesejahteraan warga Malaysia.

Pada Khamis, Dewan Negara meluluskan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dengan undian suara.

RUU dibentangkan Dr Dzulkefly itu antaranya memperuntukkan larangan bagi menjual dan membeli produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau atau mengadakan apa-apa perkhidmatan untuk merokok kepada Orang Belum Dewasa (OBD).

Ia juga menyaksikan pengguguran peruntukan berkaitan generasi penamat (GEG) iaitu larangan penjualan produk tembakau dan rokok serta larangan merokok bagi orang yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

RUU yang mengandungi Fasal 1 hingga 54 itu dibentang semula bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara pada Rabu, sebelum dibentang untuk bacaan kali ketiga dan dibahas 22 Ahli Dewan Negara.