KUALA LUMPUR - Saranan untuk dipinda Perlembagaan Persekutuan bagi membataskan Perdana Menteri kepada orang Melayu-Islam sahaja adalah tidak wajar, dan lebih kepada mengapi-apikan keadaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihak yang membuat saranan tersebut nyata tidak memahami konsep sebenar Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, pihak pembangkang sewajarnya mencari idea untuk membantu mengangkat ekonomi serta mengurangkan beban rakyat daripada terus membangkitkan perkara yang tidak perlu.
"Sekarang ini Perlembagaan ada, peraturan ada... ini bukan isu. Dan sekarang ini tidak menjadi isu, dan jangan kita rumitkan keadaan.
"Seperti juga yang diuar-uarkan pembangkang soal persempadanan semula. Perkara ini tak berbangkit pun.
"Dia cuma nak melaga-lagakan orang Melayu, dia nak bagi kita marah, jadi isu ini tak berbangkit. Dia tak faham perlembagaan.
"Perlembagaan membolehkan kita mengkaji semula (persempadanan) hanya pada akhir 2026. Ini nak sibuk pasal apa.
"Carilah modal bantu bagaimana nak angkat ekonomi, nak kurangkan beban rakyat. Janganlah asyik nak bergaduh saja. Tak letihkah?” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Kauthar dan makan tengah hari di Restoran Mak Kimbong, Bandar Baru Bangi.
Pada Khamis, Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencadangkan supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda supaya hanya orang Melayu-Islam boleh menjadi perdana menteri.
Kenyataan Ahli Parlimen Machang itu hadir selepas veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang menegaskan tiada sekatan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan bukan Melayu menjadi Perdana Menteri.
Ditanya sama ada perlu dibuat pindaan berkenaan, Perdana Menteri berkata, tidak ada perbincangan berhubung perkara tersebut.
"Tak ada keperluan, tak ada perbincangan. Sejak Merdeka sampai sekarang calon Perdana Menteri hanya Melayu... lepas ini calon daripada pembangkang pun Melayu. Jadi maju terus.
"Hak rakyat semua warganegara kita pelihara, jaga kepentingan semua rakyat, semua kaum, semua wilayah,” katanya lagi. - Awani