IPOH - Jalan pintas menghubungkan Bandar Meru Raya dengan Klebang dekat sini yang dibina dengan kos RM7.2 juta sudah mengalami kerosakan biarpun tidak sampai lima bulan dibuka.
Keadaan jalan terutama menghala ke Klebang dari arah Meru Raya itu mencetuskan tanda tanya bagaimana keadaan tersebut boleh berlaku serta mendatangkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Klebang Putra 1, Dr Mohamad Azrul Azly Zarul Fu'ad berkata, keadaan jalan itu nyata mengecewakan orang ramai terutama penduduk di Taman Klebang Putra kerana tidak sampai setahun digunakan sudah mengalami kerosakan.
Jelasnya, jalan tersebut menjadi laluan utama buat lebih 3,000 penduduk di situ yang bekerja atau berurusan di Bandar Meru Raya dan kawasan sekitarnya.
"Permukaan jalan sebegini boleh mendatangkan risiko kepada pengguna jalan raya yang kebanyakannya daripada taman ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui Sinar Harian di Taman Klebang Putra dekat sini pada Jumaat.
Mohamad Azrul berkata, tindakan segera perlu dilakukan oleh pihak berkaitan bagi membaik pulih jalan tersebut sebelum keadaan makin teruk.
Bagi seorang penduduk, Aby Rofde Shafie, 45, pula, keadaan jalan tersebut membahayakan penunggang motosikal jika tidak sempat memperlahankan kenderaan mereka.
Jelasnya, bukan itu sahaja, kenderaan yang melalui jalan berkenaan terutama kereta turut berdepan risiko mengalami pada bahagian roda disebabkan permukaan tidak sempurna.
"Kami amat berharap tindakan segera diambil bukan sahaja membaiki jalan yang rosak tetapi membuat kajian dengan teliti terhadap punca kerosakan bagi mengelak kejadian sama berulang.
"Jika tidak disegerakan, kita bimbang berlaku kejadian tidak diingini di jalan tersebut," katanya yang tinggal di Taman Klebang Putra.
Aby Rofde turut mencadangkan agar sepanjang laluan berkenaan turut dibina bonggol bagi memperlahankan kenderaan kerana terdapat segelintir pengguna mengabaikan papan tanda had laju yang ditetapkan.
Menurutnya, pada bulan Oktober lalu telah berlaku kemalangan di jalan tersebut dan amat wajar pembinaan bonggol tersebut bagi mengelak insiden yang lebih buruk.
Sementara itu, Pengerusi Taman Chepor Idaman, Mohd Syukur Jalinu turut berharap agar kualiti jalan dapat dipertingkatkan bagi membolehkan semua jenis kenderaan melalui laluan tersebut.
Menurutnya, pembaikan jalan tersebut tidak boleh ditangguh bagi mengelak kerosakan lebih serius.
Dalam perkembangan berkaitan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihaknya akan meneliti perkara tersebut.
Katanya, memandangkan jalan tersebut masih dalam tempoh waranti, laluan yang rosak akan dibaik pulih semula.
Jalan Meru Raya-Klebang dibuka kepada orang ramai pada 15 Ogos lalu dengan kos pembinaan berjumlah RM7.2 juta.
Pembinaannya dilaksanakan secara kerjasama pintar antara MBI dengan beberapa pemaju.