Lelaki mengaku bersalah hendap, ganggu wanita melalui Twitter

Iklan
Bangunan mahkamah Shah Alam

SHAH ALAM - Seorang perunding pengurusan acara sambilan yang didakwa menghendap seorang jurugambar wanita dengan menghantar gangguan berulang melalui tiga komunikasi akaun Twitter pada Julai lepas hari ini menukar pengakuan kepada bersalah.

Mohamad Safiq Rosli, 37, yang merupakan individu pertama didakwa atas kesalahan itu mengikut Seksyen 507A(1) Kanun Keseksaan, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.

Iklan
Iklan

Sasha Diana berkata, beliau menerima pengakuan salah tertuduh selepas dapatan laporan perubatan menyatakan Mohamad Safiq layak dibicarakan dan membuat pengakuan.

Mahkamah menetapkan 19 Disember ini untuk mendengar fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas manakala peguam Fithril Hakim Ab Jalil mewakili Mohamad Safiq.

Dia didakwa mengganggu Acacia Mardiana Daud, 31, melalui aplikasi Twitter atas nama akaun"@sopert99" dengan menghantar komunikasi berbentuk luahan perasaannya di akaun Twitter milik mangsa"@ShaFoShizzle" yang telah dibaca di sebuah rumah di sini.

Iklan

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di antara jam 1.40 pagi 15 Julai dan jam 5.58 petang 21 Julai lepas sehingga mendatangkan ketakutan kepada mangsa.

Mohamad Safiq boleh dihukum mengikut Seksyen 507A(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pada 10 Ogos lepas, Mohamad Safiq mengaku tidak bersalah dan mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan untuk merujuk tertuduh ke Unit Forensik Psikiatri di Hospital Ulu Kinta bagi pemerhatian. - Bernama