GEORGE TOWN - Malim gunung atau sherpa di kawasan Gunung Everest akan terus mencari pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) iaitu orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim yang hilang sejak 19 Mei lepas, pada musim pendakian tahun hadapan.
Pengarah Pioneer Adventure, Nivesh Karki, 35, berkata, syarikatnya di Nepal memberi jaminan akan terus bersama-sama dengan 20 syarikat sherpa lain yang menjalankan kerja pendakian di Gunung Everest untuk menyambung pencarian Muhammad Hawari, 33, pada musim pendakian bermula April hingga Mei.
Beliau yang datang ke Malaysia untuk bertemu ibu kepada Muhammad Hawari iaitu Che Tom Hassan, 64, berkata, atas rasa tanggungjawab beliau akan menunaikan janji yang dibuat kepada wanita itu untuk mencari anaknya yang hilang.
"Kami akan terus mencari Muhammad Hawari kerana dia merupakan ahli keluarga kami dan bagi kami misi pencarian itu walaupun sukar ia tidak mustahil untuk dilaksanakan kerana terdapat jasad pendaki yang hilang sejak 1942 ditemukan dalam keadaan yang masih utuh pada 2019.
"Kami hanya perlu mencari sebarang tanda atau jejak yang ditinggalkan oleh pendaki malah syarikat kami turut menawarkan ganjaran kepada malim gunung yang berjaya menemui Muhammad Hawari," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Nivesh dan seorang lagi jurugambar bebas, Bidhan Shrestha didatangkan khas dari Nepal menerusi inisiatif Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP) yang menganjurkan program Eternal Ascent: Journey with The Malaysian Everest Expedition 2023, di Balai Seni Negeri di sini pada Jumaat.Turut hadir pada program itu Che Tom bersama ahli keluarganya termasuk isteri Muhammad Hawari, Saffiyah Tang Xie Lie, 34, dan dua anak mereka iaitu Hana Sakeena, 4, dan Haris Sufian, 2.
Muhammad Hawari sebelum ini bekerja di LMNPP.
Mereka dan jemputan lain yang hadir mendengar sendiri perkongsian Nivesh dan Bidhan yang terlibat secara langsung dalam misi mencari Muhammad Hawari di puncak tertinggi dunia itu yang diterjemahkan oleh jurubahasa kepada bahasa Melayu dan bahasa isyarat kerana Saffiyah serta dua anaknya juga OKU pendengaran.
Che Tom yang ditemui selepas majlis itu melahirkan rasa lega dengan jaminan diberikan oleh Nivesh dan syarikat tersebut yang mahu meneruskan pencarian anaknya Muhammad Hawari pada pendakian musim akan datang dan seterusnya.
Beliau yang menangis sepanjang tayangan video perjalanan Muhammad Hawari mendaki Gunung Everest dan perkongsian Nivesh, berkata mereka sekeluarga berharap sekurang-kurangnya jasad anaknya itu dapat ditemukan supaya ada kuburnya."Saya rasa sangat lega apabila malim gunung dari Nepal akan meneruskan pencarian Hawari. Sebagai ibu saya ingin melihat sekurang-kurangnya jasad anak saya, selagi tidak nampak di depan mata saya akan terus tertanya-tanya di mana dia," katanya.
Che Tom berkata, baju sejuk berwarna oren yang dipakai Muhammad Hawari ketika mendaki Gunung Everest kini menjadi pengubat rindu kepada anaknya itu.
''Baju ini dibawa balik dari Nepal dan sekarang isteri Hawari mengantung baju ini di rumah kami, saya akan lihat baju ini setiap hari.
"Bila saya lihat baju ini saya rasa seolah-olah saya nampak Hawari memakainya," katanya.
Sementara itu, Saffiyah yang sebelum ini tidak bekerja berkata, beliau telah mula bekerja sebagai kerani sambilan di Jabatan Kebajikan Masyarakat di Seberang Perai Utara bagi menampung keperluan bersama dua anaknya.
Beliau yang tinggal di rumah Che Tom di Kampung Permatang Kerai Besar di sini berkata, anaknya, Hana Sakeena boleh dikatakan hampir setiap malam menangis kerana rindukan ayahnya malah sering bertanya kenapa Muhammad Hawari tidak pulang."Sekarang ini fasa untuk teruskan kehidupan dan kami sekeluarga memang harapkan jasadnya ditemukan kerana Hana paling terkesan rindukan ayahnya, sekurang-kurangnya jika jumpa jenazah dia tahu ayahnya telah meninggal," katanya.
Muhammad Hawari dilaporkan hilang selepas keluar meninggalkan Kem Empat pada aras ketinggian 8,000 meter dari aras laut. Sehari sebelum itu, Muhammad Hawari dilaporkan berjaya menawan puncak gunung tertinggi dunia itu.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Hawari dihentikan dan akan disambung tahun depan berikutan permit khas pencarian menggunakan dron dan SAR udara yang diluluskan pihak berkuasa Nepal, sudah tamat. - Bernama