[DIKEMAS KINI] MALAYSIA mengakhiri Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 di tangga ke-12 apabila tumbang di tangan New Zealand dalam aksi klasifikasi ke-11/12 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.
Biarpun menampilkan permainan terpuji, skuad Young Tigers terpaksa akur tewas 3-4 menerusi penentuan penalti shoot-out selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 sebaik tamat masa sebenar.
Sebelum debaran penentuan penalti shoot-out itu, New Zealand memperoleh gol pertama menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan Luke Aldred ketika perlawanan baru memasuki minit keempat.
Berselang dua minit kemudian, skuad muda negara kendalian Muhamad Amin Rahim menyamakan kedudukan hasil jaringan padang Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari.
Gol itu berpunca daripada gerakan menarik Alfarico Lance Liau dari sebelah kiri pintu gol New Zealand sebelum Adam berjaya merobek gawang lawan.
Namun, New Zealand kembali berada di depan apabila Sam Lint merobek gawang Malaysia menerusi gol padang pada minit kesembilan bagi menutup aksi 15 minit suku pertama.
Dalam tempoh 15 minit suku kedua, Malaysia berpeluang menambah jaringan, namun beberapa peluang terhidang termasuk dua pukulan sudut penalti, gagal disudahkan dengan baik.
Skrip hampir sama berulang dalam tempoh 15 minit suku ketiga apabila Malaysia gagal menambah jaringan sekalipun memperoleh deretan peluang termasuk satu pukulan penalti.
Tempoh 15 minit terakhir suku keempat memperlihatkan Young Tigers terus garang melancarkan serangan kubu New Zealand bagi memburu jaringan tambahan.
Berbaki tiga minit sebelum wisel penamat dibunyikan, Malaysia akhirnya menyamakan kedudukan 2-2 hasil ledakan Mohamad Shamir Rizmi Mohd Shamsul menerusi gol padang.
Dengan menduduki tangga kesembilan, skuad kendalian Muhamad Amin menyamai pencapaian pada edisi 2001 di Hobart, Australia dan 2009 ketika Malaysia menjadi penganjur bersama di Johor Bahru dan Singapura.
Untuk rekod, Malaysia menamatkan kempen Piala Dunia Remaja Lelaki di tempat kelapan pada edisi 2021 yang berlangsung di Bhubaneswar, India.
Malaysia tidak pernah muncul sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1979 dengan pencapaian terbaik menduduki tempat keempat sebanyak tiga kali iaitu edisi 1979, 1982 dan 2013.