PENGACARA program realiti Pentas Marhaban, Tilmiz Fahmi menafikan dakwaan mempunyai kuasa dalam menentukan senarai peserta bagi program realiti terbabit.
Ia susulan pembabitan kumpulannyq, Al Maqari pada konsert minggu kelima yang bakal berlangsung pada Sabtu.
Fahmi atau nama sebenarnya Muhamad Nurfahmi Zainal, 23, berkata, biarpun bertindak sebagai pengacara program terbabit, namun dia tidak diberikan sebarang keistimewaan oleh TV AlHijrah selaku penerbit.
"Memandangkan masih ada lagi persoalan mengenai isu status saya dengan kumpulan Al Maqari di pentas marhaban, di sini saya nak jelaskan saya hanya bertindak sebagai hos manakala Al Maqari pula adalah peserta program ini.
"Saya tidak diberikan sebarang kuasa atau keistimewaan untuk menentukan siapa juara pada minggu akan datang atau minggu ini.
"Sebenarnya pemarkahan 100 peratus diadili oleh juri tetap dan juri jemputan,” katanya.
Terdahulu Fahmi mendedahkan dirinya menerima mesej peribadi di Instagram daripada pengikut yang mempertikaikan pembabitan kumpulan Al Maqari di Pentas Marhaban.
Konsert minggu kelima Pentas Marhaban bakal menyaksikan pertembungan di antara kumpulan Al Maqari dan Qalbun Hadi.
Dalam masa sama, Fahmi turut menepis dakwaan orang ramai yang mengatakan Al Maqari tidak memberi peluang kepada pendatang baharu untuk mencuba nasib dalam mana-mana program realiti TV
"Sebenarnya kami baru nak menapak dan kuatkan lagi jenama kumpulan ini di platform TV khususnya.
"Jika anda rasa layak untuk menyertai mana-mana program, kita bersaing secara sihat. Kita tunjukkan usaha dan komitmen serta jangan ada perbalahan,” ujarnya.
Selain Fahmi, Pentas Marhaban turut dihoskan oleh pelakon dan pengacara popular Syamsul Ghau Ghau.
Untuk info, Pentas Marhaban akan bersiaran selama lapan minggu dan sebanyak dua kumpulan akan berentap pada setap minggu.
la akan diadili oleh dua juri tetap iaitu Ustazah Asni Mansor dan Ustaz Zulhafis (Along Gambus) bersama seorang lagi juri jemputan.
Pentas Marhaban bersiaran secara langsung dari Studio Penyiaran Digital TV Al Hijrah pada setiap Sabtu, jam 9 malam.