JENIN - Rejim Zionis bertindak biadab menceroboh masjid-masjid di Tebing Barat setelah konflik di Gaza kini merebak secara meluas di wilayah ditadbir gerakan Fatah tersebut.
Menerusi rakaman video tidak bertarikh yang menjadi tular di media sosial, sekumpulan askar Israel dilihat dengan selamba menggunakan sistem pembesar suara yang digunakan untuk melaungkan azan untuk tujuan provokasi melampau dengan menyanyikan lagu keagamaan Yahudi.
Paling menjengkelkan apabila bahagian akhir rakaman itu boleh kedengaran suara tentera Israel ketawa kerana menganggap insiden tersebut sebagai melucukan.
Satu lagi klip menunjukkan rejim Zionis memberi amaran kepada penduduk Palestin di kem pelarian di Jenin selepas serbuan ganas dilancarkan bagi tempoh tiga hari berturut-turut ke atas bandar tersebut di bawah kempen pencerobohan ke-15 sejak perang Gaza tercetus.
Agensi berita Wafa menyifatkan perbuatan tentera Israel itu sebagai langkah provokatif yang berisiko mencetuskan konfrontasi ganas.
Pejabat Presiden Palestin turut mengutuk tindakan melampau rejim Zionis seperti itu yang mencemari kesucian masjid.
Susulan kecaman yang semakin meningkat, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) memaklumkan anggota yang terlibat sudah disingkirkan daripada tugas operasi bagi menghadapi tindakan tatatertib.
"Tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mereka yang tidak mematuhi nilai IDF,” ujar jurucakapnya, Daniel Hagari.
Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan Palestin berkata, seramai 12 penduduk Palestin gugur syahid sejak rejim Zionis menggempur bandar Jenin pada Selasa.
Tentera Israel turut mengepung hospital dan menghalang ambulans memindahkan pesakit serta mangsa cedera dengan melepaskan tembakan gas pemedih mata.
Pemangku Gabenor Jenin, Kamal Abu al-Rub berkata, jumlah anggota IDF dikerahkan ke bandar itu dan kem pelarian yang didiami penduduk Palestin semakin meningkat. - Agensi