Bekas anggota pasukan GGK dikenal pasti mangsa lemas

Iklan
Bahrin (kanan) turut serta dalam operasi mencari warga emas yang hilang di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Kampung Palembang dekat Kluang pada Jumaat. Gambar kecil: Ab Manan

KLUANG - Polis sudah mengenal pasti identiti warga emas yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang sedalam kira-kira 2.4 meter di Jalan Ismail di bandar ini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa, 73, merupakan bekas anggota pasukan Gerup Gerak Khas (GGK) yang terjatuh dalam longkang besar selepas menghadiri majlis Santapan petang bersama Sultan Johor pada petang Khamis.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selepas menerima laporan daripada keluarga mangsa pada jam 10 malam, pihaknya mula menjalankan siasatan di kawasan kejadian pada awal pagi Jumaat.

"Hasil pemeriksaan ke atas sebuah rakaman litar tertutup (CCTV) di bangunan Persatuan Eng Choon mendapati terdapat kelibat seseorang terjatuh ke dalam longkang besar berhampiran Sungai Mengkibol pada masa dilaporkan.

Iklan

"Susulan itu satu pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada 50 anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, pasukan bomba dan penyelamat Kluang dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kluang dilancarkan," katanya.

Bahrin berkata demikian dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Kampung Palembang dekat sini pada Jumaat.

Iklan

Sebelum itu, media melaporkan Ab Manan Keri tidak pulang ke rumah selepas hadir ke majlis Santapan petang bersama Sultan Johor petang Khamis.

Manan dilaporkan lengkap berpakaian baju Kelab Veteran Komando dan Beret Hijau ketika kejadian.

Mengulas lanjut, Bahrin berkata, pada awal pencarian gerakan dimulakan dengan mencari di dasar Sungai Mengkibol dan longkang kerana keadaan air kawasan tersebut cetek.

Katanya, mangsa dikatakan terjatuh selepas terpijak ke dalam lubang di longkang yang turut dilimpahi air akibat banjir kilat yang berlaku di bandar Kluang pada petang Khamis.

Beliau memberitahu, gerakan pencarian sudah dilakukan kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian ke pusat kawalan dan tiga kilometer ke bahagian hilir Sungai Mengkibol.

Sebanyak tiga buah bot pasukan polis dan sebuah dari pasukan bomba dan penyelamat sudah ditempatkan di pusat kawalan, katanya.

"Berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan operasi ditangguhkan pada jam 6.30 petang dan akan disambung semula jam 8 pagi Sabtu," ujarnya.