Ahmad Zahid 'pengendali politik sempurna' - KJ

Iklan
Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

SHAH ALAM - Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendakwa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai 'pengendali politik yang sempurna'.

Beliau berkata, ia susulan jawatan dan portfolio Presiden UMNO itu masih kekal walaupun rombakan Kabinet telah dilakukan.

Iklan
Iklan

"Bila Ahmad Zahid dengar yang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan rombak Kabinet, beliau mesti fikir bahawa ini adalah peluang saya.

"Beliau nak beritahu semua orang, walaupun dah melalui pembedahan baru-baru ini tetapi saya tidak ke mana-mana dan masih jalankan tugas.

Iklan

"Timbalan atau Naib Presiden ke, kalau tak suka, saya (Ahmad Zahid) akan pusing-pusingkan sebab yang tetap adalah saya,” katanya dalam siaran podcast Keluar Sekejap pada Jumaat.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, Anwar mengumumkan rombakan Kabinet dan penyusunan semula kementerian melibatkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang kini dipecahkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Iklan

Kementerian Komunikasi dan Digital pula dipecahkan masing-masing kepada Kementerian Digital serta Kementerian Komunikasi.

Rombakan itu menyaksikan jumlah Ahli Jemaah Menteri meningkat daripada 28 kepada 31, manakala Timbalan Menteri meningkat daripada 27 kepada 29 sekali gus jumlah keseluruhan anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan kini adalah 60 orang.

Pada 27 Januari lalu, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau dipecat dari UMNO serta-merta.

Selain Khairy, UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain antaranya ialah Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.