Kelincahan Arif Aiman mula curi tumpuan

Iklan
Kelincahan Arif Aiman bersama Harimau Malaya kini menjadi tumpuan menjelang Piala Asia di Qatar, tahun depan. FOTO: FB FAM. GAMBAR KECIL: RAZMAN

IMPAK kecemerlangan ditonjolkan bintang muda sensasi negara, Arif Aiman Mohd Hanapi telah membantu mengangkat imej bola sepak negara di mata dunia.

Bekas pemain negara, Razman Roslan berkata, pengiktirafan dan pandangan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengenai kualiti dimiliki Arif Aiman itu sememangnya petanda yang baik buat bola sepak negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemain lincah Johor Darul Ta'zim (JDT) itu sememangnya layak untuk diiktiraf, namun menegaskan dia perlu lebih bekerja keras untuk meningkatkan tahap permainannya.

"Satu penghargaan untuk dirinya, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan untuk Malaysia. Saya percaya ia semangat tambahan untuk Arif Aiman dalam memacu pasukan kebangsaan ke Piala Asia nanti.

Iklan

"Pada masa sama, apa yang kita risaukan adalah terlalu banyak tumpuan ini juga memungkinkan kelibatnya di Piala Asia akan diperhatikan oleh pasukan lawan.

"Mungkin sebelum ini pasukan lawan tak terlalu beri perhatian kepada Arif Aiman, namun selepas banyak tumpuan, sudah tentu pasukan lawan akan jaga-jaga dengan dia. Namun, saya percaya dia ada kualiti untuk menyerlah menentang pasukan besar,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Iklan
Laporan Sukan Sinar pada Jumaat.

Sebelum ini FIFA mengiktiraf Arif Aiman sebagai sebagai pemain yang bakal menyinar bersama Harimau Malaya pada aksi Piala Asia di Doha, Qatar, bulan depan.

Badan induk bola sepak dunia itu menyenaraikan pemain berusia 21 tahun itu, di samping empat pemain lain iaitu pemain Jepun, Junya Ito; pemain Korea Selatan, Cho Gue-sung; pemain Australia, Harry Souttar dan pemain Emiriah Arab Bersatu (UAE), Harib Abdalla.

Selain itu, FIFA turut melihat Arif Aiman sebagai salah seorang prospek menarik yang dimiliki skuad negara pada masa depan.

Dalam pada itu, Razman melihat Arif Aiman sudah bersedia sepenuhnya untuk beraksi di luar negara berdasarkan kemampuannya selepas beberapa musim di Liga Malaysia.

"Kalau ikut pendapat saya, dia sudah bersedia untuk bermain sama ada di Liga Jepun atau Liga Korea. Ada pemain yang ke luar negara tidak boleh bersaing, sebab itu nampak tenggelam.

"Tetapi Arif Aiman berbeza dan saya yakin dia boleh bersaing. Bermain di luar negara sudah tentu akan dapat meningkatkan kualitinya. Jika ada peluang, dia harus ambil peluang tersebut,” katanya.