Murah hati Uncle Yek, 30 tahun bantu tampung sekolah Tamil

Iklan
Uncle Yek akui berasa senang dan seronok dapat membantu anak-anak di kawasan ladang pergi ke sekolah dan mendapat pendidikan mereka.

MANJUNG -"Saya tidak mahu terlalu berkira kerana dengan bantuan dan keringat merekalah, hidup saya senang."

Demikian kata seorang pemilik ladang getah dekat Ayer Tawar di sini yang membantu pengurusan sebuah sekolah Tamil dekat sini sejak 30 tahun lalu.

Iklan
Iklan

Yek Dong Ping, 78, yang mesra dipanggil Uncle Yek bermurah hati apabila tidak pernah mengutip sebarang bayaran terhadap Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Ayer Tawar yang beroperasi atas tapak ladangnya.

Uncle Yek (kanan) ketika mengadakan kunjungan ke SJKT Ladang Ayer Tawar baru-baru ini.

Datuk kepada 19 cucu itu berkata, SJKT tersebut lebih awal dibangunkan di atas tapak kira-kira satu hektar sebelum dia membeli kawasan ladang berkenaan.

Iklan

Oleh kerana tidak mahu membebankan pengurusan sekolah, dia mengambil keputusan untuk tidak mengutip sebarang sewa tapak mahupun bayaran cukai tanah.

Tindakannya itu sebagai membalas jasa masyarakat India di kawasan berkenaan yang selama ini bekerja di ladangnya sebagai penoreh getah.

Iklan

"Saya sudah perolehi banyak keuntungan dan kekayaan dari perusahaan di estet hasil kerja mereka, jadi tidak ada salahnya saya membantu sedikit dan menyumbang semula melalui sekolah.

"Lagipun hati saya rasa senang dan seronok tengok anak-anak di kawasan ladang ini dapat pergi ke sekolah dan mendapat pendidikan mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Dong Ping mengakui, tidak pernah rasa terbeban dengan membantu kelangsungan sekolah berkenaan.

Malah katanya, setiap kali sekolah itu mengadakan program, dia akan turut sama menyumbang dana dan sama-sama meraikan Tahun Baharu Cina dengan menyampaikan kotak limau.

"Jika kita ada duit lebih, eloklah kita berbahagi rezeki, bantu mudahkan pihak lain, lagi-lagi untuk murid sekolah," katanya yang turut sama meraikan murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ramai, Ayer Tawar setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina.

Keluhuran hati bapa tujuh anak ini turut terserlah apabila bersetuju menjual tapak sekolah tersebut mengikut kemampuan pengurusan sekolah.

Katanya, sejak beberapa tahun lalu, pihak pengurusan sekolah menghubunginya untuk membeli tapak berkenaan, namun dana tersedia masih tidak mencukupi.

"Kalau ikutkan harga tapak ini mencecah RM400,000, tetapi saya faham kekangan sekolah dan bersetuju dengan bayaran RM300,000 sahaja.

"Urusan pindah milik ini sudahpun diselesaikan tiga bulan lalu, walaupun sekolah ini tidak lagi berada di tapak saya, dengan senang hati saya akan tetap membantu dan meraikan mereka," katanya.

Anak kelahiran Ayer Tawar itu sebelum ini mengusahakan hampir 24 hektar ladang getah, namun seiring dengan pertambahan usia, dia telah menjual hampir 20 hektar dan meninggalkan kira-kira empat hektar lagi untuk diusahakan anak cucu.