KUALA KRAI - Lebih 200 penduduk di Kampung Belanga B dan Jelutar terpaksa melalui perjalanan lebih jauh untuk ke bandar Kuala Krai apabila Jambatan Kampung Belanga, Sungai Pahi, di sini ditenggelami air sejak Selasa lalu.
Jarak perjalanan melalui Batu Mengkebang sejauh 30 kilometer (km) itu berbeza berbanding hanya 10km jika mereka dapat menggunakan jambatan konkrit tersebut.
Pembantu jurujual, Muhamad Alif Irfan Saulina @ Saidi, 19, berkata, dia hanya boleh ke tempat kerjanya di pasar pagi di bandar Kuala Krai pada Jumaat berikutan hujan lebat pada Selasa menyebabkan jalan di Kampung Belanga B dinaiki air dan tidak dapat dilalui oleh semua kenderaan.
"Pada Selasa dan Rabu lalu kami terkepung sepenuhnya, baru hari ini dapat keluar tetapi perlu melalui Batu Mengkebang yang mengambil masa hingga 40 minit untuk sampai ke bandar Kuala Krai.
"Jambatan ini pula masih tenggelam sungai separas 0.6 meter dari atas lantai jambatan dengan keadaan arus yang deras,” katanya ketika ditemui di Kampung Belanga A, di sini pada Jumaat.
Bagi peniaga, Ahmad Hidayat Shamsul Kamar, 21, pula berkata, kebiasaannya jika arus perlahan, penduduk boleh menggunakan sampan untuk menyeberangi sungai yang menghubungkan Kampung Belanga A ke Kampung Belanga B tersebut.
Katanya, jambatan sepanjang kira-kira 70 meter yang berusia lebih 30 tahun itu pernah terputus dari tebing di bahagian sebelah Kampung Belanga B kerana bah kuning pada 2014 dan sudah dibaiki.
"Bagaimanapun sungai sekarang yang berarus deras selain air melimpah sehingga 30 meter dari jambatan menyebabkan bahaya dan tidak ada yang berani menyeberanginya.
"Sudah menjadi kebiasaan apabila hujan berterusan selama tiga jam, maka jambatan ini akan tenggelam dan pada Selasa lalu, sungai yang melimpah ke tebing mencecah kedalaman lebih dua meter,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, jambatan Kampung Belanga itu antara jambatan terawal yang akan ditenggelami air beberapa kali dalam setahun akibat hujan kerana kedudukannya terlalu rendah dari tebing sungai.
"Saya sudah membawa isu ini ke Parlimen dan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya menaik taraf atau membina jambatan baharu untuk kegunaan penduduk dengan bagi keselamatan,” ujar beliau.