KUALA LUMPUR - Kehadiran Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh pada Konvensyen Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional 2023, disifatkan sebagai tanda pengkukuhan persahabatan dalam Kerajaan Perpaduan.
Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hasbie Muda dalam ucapan pidatonya menzahirkan terima kasih kepada Muhamad Akmal kerana bersama untuk menjayakan konvensyen berkenaan.
"Alhamdulillah kita duduk berdamai bersama, terima kasih sahabat Pemuda UMNO yang turut bersama dengan kita pada hari ini (Sabtu)," katanya.
Terdahulu, Mohd Hasbie menyambut ketibaan Muhamad Akmal kira-kira jam 9 pagi.
Ia kemudian disusuli kehadiran, Timbalan Ketua Kepimpinan Jawatankuasa Eksekutif Pemuda DAP (DAPSY), Young Syefura Othman.
Konvensyen dijangka dirasmikan Presiden Amanah Datuk Seri Mohammad Sabu pada jam 11 pagi.
Pada tahun ini, konvensyen mengangkat tema ‘Menerajui Era Baharu Pemuda’.
Dalam pada itu, Mohd Hasbie berkata, pemuda Amanah perlu berubah mengikut peredaran zaman dan tidak boleh bersikap statik.
"Kita tidak boleh selesa dengan keadaan semasa dan pendekatan yang lama.
"Pelbagai perkara baharu perlu diterokai bagi memastikan kita bukan hanya kekal relevan tetapi menjadi peneraju dalam bidang yang kita berada di dalamnya,” katanya.