KUALA LUMPUR - Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu mengakui tidak ramai pemimpin serta ahli partinya dan Pakatan Harapan (PH) turun membantu kempen ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, baru-baru ini.
Ujarnya, tindakan itu juga seolah-olah memberi gambaran pihak kerajaan mengalah lebih awal kepada calon lawan.
"Saya sedikit gusar dalam PRK di Kemaman. Pasukan Amanah dan PH tidak begitu kuat turun di Kemaman. Barangkali kita lihat majoriti (lawan sebelum ini) lebih 28,000.
"Kalau boleh dibanci di sini yang turun ke Kemaman, barangkali tidak sampai tiga peratus. (Sepatutnya) kita kena tunjuk perpaduan sama ada calon itu dari UMNO, PH atau pun Amanah.
"Bila bekerjasama, kita perlu buat secara bersungguh-sungguh. Saya menteri, presiden dan seorang suami boleh turun setiap malam (di Kemaman),” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Pemuda Amanah Nasional 2023 di salah sebuah pusat acara di Bangsar, di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hasbie Muda; Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh dan Timbalan Ketua Kepimpinan Jawatankuasa Eksekutif Pemuda DAP (DAPSY), Young Syefura Othman.
Sementara itu, Mohamad dalam sama sama turut mengingatkan pemimpin dan ahli agar terus menjaga keutuhan parti, meskipun ketika ini menjadi gabungan pemerintah.
"Dalam posisi mana pun kita berada, jangan lupa kegiatan parti kita. Apabila kita berada dalam kerajaan tidak banyak sebenarnya (peluang) untuk menarik orang menyokong parti.
"Jadi, kekuatan parti cukup penting sama ada kita menjadi pembangkang atau pemerintah,” katanya.
Pada 2 Disember lalu menyaksikan Pas berjaya mengekalkan status quo apabila berjaya memenangi PRK Kemaman dengan majoriti lebih besar dengan penambahan lebih 10,000 undi.
Calonnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menang dengan majoriti 37,220 undi berbanding 27,179 undi yang dimenangi penyandang sebelum ini, Che Alias Hamid dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).