[VIDEO] 'Haikal sempat senyum sebelum tenggelam'

Iklan

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Rakan kepada Mohamad Amirul Haikal Che Jaapa, 14, yang dikhuatiri lemas di tali air berhampiran perkampungan Indera Sempurna di sini petang Jumaat mendakwa melihat mangsa tersenyum sebelum dibawa arus deras.

Muhammad Emil Zakuan Mazri, 14, ketika menceritakan kembali insiden itu berkata, dia cuba membantu rakannya yang mesra dengan panggilan Haikal selepas tergelincir ketika menaiki tebing tali air terbabit.

Muhammad Emil (dua dari kiri) bersama empat rakan yang dikatakan ada bersama mangsa ketika kejadian itu berlaku pada Jumaat.

Iklan
Iklan

"Dia (Haikal) minta tolong, tangan dia dah terkapai-kapai. Saya terjun cuba selamatkan dia, tapi dia tolak tangan saya sebelum terlepas. Saya pun ke tepi (ke tebing semula) kerana arus air sangat deras.

"Kami kemudian cuba mengejar dia melalui tebing tali air sedalam 200 meter sebelum dia tenggelam dan tak timbul-timbul dah," katanya ketika ditemui di lokasi operasi mencari dan penyelamat (SAR) di kawasan Perumahan Makmur Seri Damai Jaya, di sini pada Sabtu.

Iklan

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan seorang pelajar Tingkatan Dua dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Kilau dilaporkan lemas ketika mandi bersama enam rakannya di tali air berhampiran perkampungan Indera Sempurna.

Muhammad Emil bersama lima lagi rakannya berada dilokasi operasi mencari dan penyelamat (SAR) di kawasan Perumahan Makmur Seri Damai Jaya, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu sebelum ini mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian jam 3.50 petang.

Iklan

Bercerita mengenai kejadian tersebut, Muhammad Emil berkata, mereka pernah beberapa kali ke tali air terbabit untuk mandi-manda.

Katanya, berasa kesal dengan kejadian menimpa rakan baiknya itu walaupun usaha menyelamatkan sudah dilakukan.

"Kami cuma sempat mandi seminit saja di situ kerana air terlalu dalam sebelum Haikal tergelincir dan dibawa ke tengah kolam (tali air)," ujarnya yang berharap mangsa ditemui segera.

'Kami reda tuhan pinjamkan adik selama 14 tahun'

Sementara itu, bapa mangsa, Che Jaapa Che Endut, 62, berkata, seluruh ahli keluarganya masih terkejut dengan kejadian itu, namun pasrah dengan ketentuan ALLAH.

Katanya, mereka sekeluarga sudah reda dengan insiden tersebut.

"Saya reda kerana Tuhan dah bagi 'pinjam' adik untuk bersama kami selama 14 tahun.

"Seluruh ahli keluarga kini mengharapkan jasad anak bongsu daripada tujuh beradik itu ditemui segera tak kiralah macam mana keadaan," katanya.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan seorang pelajar Tingkatan Dua dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Kilau dilaporkan lemas ketika mandi bersama enam rakannya di tali air berhampiran perkampungan Indera Sempurna. Gambar kecil: Muhammad Emil

Che Jaapa berkata, mereka tidak menyangka Mohamad Amirul Haikal atau disapa dengan panggilan 'adik' mandi di tali air walaupun sering kali menasihatinya agar tidak berbuat demikian

Ujar pesara kerajaan itu, pesanan terbabit dibuat kerana anaknya tidak pandai berenang, selain bimbang berlakunya perkara tidak diingini.

Jelasnya, kali terakhir dia berjumpa anaknya itu adalah pada jam 3 petang Jumaat ketika anaknya meminta izin untuk keluar ke rumah rakan.

"Dari dulu lagi saya dah pesan jangan mandi sungai sebab saya tahu dia memang tak pandai berenang.

"Saya pun tak jangka dia akan ke sini dengan kawan-kawan dia untuk mandi sebab semalam masa nak pergi solat Jumaat, dia masih tidur.

"Biasanya dia keluar dengan kawan untuk main bola sekitar pukul 5 petang, tapi semalam dia keluar awal, dalam pukul 3 petang lebih dah keluar, jadi saya rasa tak sedap hatilah," katanya.

Ibu mangsa, Faridah Jusoh bagaimanapun gagal ditemu bual kerana masih sedih dgn iengan insiden menimpa anak bongsunya itu

Sementara itu, abang mangsa, Mohamad Amirul Hakimi, 22, pula berkata, adiknya tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian terbabit.

Katanya, tidak menyangka Mohamad Amirul Haikal akan ke tali air untuk mandi.

"Saya perasan adik makin rapat dengan mak dan tidak sangka adik dihanyutkan ketika mandi," katanya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa, berkata operasi SAR yang bermula jam 8 pagi Sabtu, menumpukan kawasan sepanjang tiga kilometer dari tempat kejadian.

Ujarnya, seramai 45 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi pencarian yang membabitkan JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"SAR turut mendapatkan bantuan seekor anjing pengesan (K9) JBPM dari Kuala Lumpur untuk operasi terutama di lokasi mangsa terjatuh.

"Kawasan tumpuan operasi dari Sungai Air Hitam hingga persimpangan Sungai Belat, di sini," katanya.

Awasi anak ketika musim hujan - Bomba

Dalam perkembangan sama, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Wan Mohammad Zaidi Wan Isa mengingatkan ibu bapa supaya mengawasi anak-anak mereka ketika bermain air pada musim tengkujuh.

Beliau berkata, ini bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini seperti lemas.

"Ini merupakan kes kali kedua (lemas), dua hari lalu di Rompin melibatkan kanak-kanak berusia lima tahun yang melakukan aktiviti memancing.

"Keadaan sekarang arus deras dan apabila jatuh tidak boleh selamatkan diri sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan pemantauan usaha menyelamat seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua yang dikhuatiri lemas ketika mandi di tali air di Perumahan Makmur Seri Damai Jaya di sini.

Tambahnya, orang ramai diminta mengurangkan atau sebaiknya tidak langsung melakukan sebarang aktiviti di air.

"Kita cuba elakkan anak-anak bermain atau membuat aktiviti di sungai dan longkang besar.

"Kita amat berharap ibu bapa untuk mengawal anak-anak mereka," ujarnya.